Suntikan vaksin secara 'walk-in' di Lembah Klang bermula hari ini
SHAH ALAM - Penduduk di Lembah Klang yang ingin mendapatkan suntikan vaksin Covid -19 secara jumpa terus atau 'walk-in' boleh berbuat demikian bermula hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, kaedah jumpa terus akan dijalankan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih bermula jam 2 petang setiap hari.
"PPV tersebut adalah Kuala Lumpur Convention Centre; HCO F; HCO G dan HCO H; Bangi Avenue Convention Centre; Hotel Wyndham, Klang dan Dewan Tun Razak, Sabak Bernam.
"Selain itu, PPV tersenarai adalah Dewan Komuniti Serendah; Movenpick Hotel Convention Centre Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ideal Convention Centre, Shah Alam," menurut KKM dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, KKM berkata, vaksinasi jumpa terus khusus untuk umur 40 tahun ke atas atau golongan 'komorbid' (kumpulan berisiko tinggi untuk mengalami kesan yang teruk daripada Covid-19 sekiranya dijangkiti), akan bermula pada Selasa hingga 4 Ogos.
"Semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang boleh mendapatkan vaksin secara walk-in bermula 5 Ogos hingga 22 Ogos," kata kenyataan itu lagi.
Tambah KKM, antara dokumen yang diperlukan ialah bukti menunjukkan lokasi bermastautin di Lembah Klang seperti alamat di kad pengenalan, lesen memandu, sebarang bil utiliti atau kad kredit, kad pekerja, kad pelajar, surat perjanjian atau lain-lain.
"Golongan komorbid diminta membawa sebarang bukti yang menunjukkan mereka termasuk dalam kategori itu seperti kad rawatan atau kad janji temu," katanya.
Individu yang mendapat janji temu tidak dibenarkan untuk jumpa terus serta tidak dibenarkan untuk membatalkan janji temu yang diberikan bagi tujuan jumpa terus sekiranya janji temu sedia ada adalah pada tarikh akan datang.
Sementara itu, untuk bukan warganegara, KKM memaklumkan tarikh dibenarkan untuk jumpa terus akan bermula 9 Ogos dan hanya dijalankan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil.
Vaksinasi secara walk in di Lembah Klang bermula hari ini bermula jam 2 petang setiap hari:
— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) August 2, 2021
2 Ogos - 4 Ogos
Individu 40 tahun dan ke atas atau golongan komorbid
5 Ogos - 22 Ogos
Warganegara 18 tahun dan ke atas
*Hanya individu belum mendapat janji temu layak walk-in.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!