Pas tidak mahu campur urusan UMNO
KOTA BHARU - Pas mengambil pendirian untuk tidak masuk campur urusan UMNO yang dilihat lebih lantang bersuara mempertikaikan pelbagai perkara melibatkan kepimpinan kerajaan sejak kebelakangan ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apa yang dilakukan UMNO adalah pendirian parti itu sendiri dan tidak ada kaitan dengan Pas walaupun mereka mempunyai hubungan dalam Muafakat Nasional (MN).
“Itu pendirian UMNO sebagai sebuah parti, kita tidak masuk campur. Itu pendirian masing-masing, kita tidak boleh kata apa,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan UMNO Kelantan yang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya berikutan isu dengan Istana Negara tempoh hari.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama MN di Kelantan, Mohd Amar berkata, pihaknya pernah mengadakan perbincangan bersama sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, pertemuan kali kedua terpaksa ditangguhkan kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Beliau berkata, Pas juga melakukan persediaan sama ada bersama UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau pun secara bersendirian.
Mohd Amar turut memberitahu, secara umumnya 80 hingga 90 peratus penyokong Pas sudah boleh menerima UMNO dan hanya ada segelintir saja mereka yang mungkin masih terasa dengan ‘luka’ lama.
“Yang veteran mungkin mereka ada pengalaman pahit dengan UMNO, jadi kita kena hormati juga pengalaman mereka. Kita cuba memujuk tapi tidak paksa.
"Masalah hati ini kita tidak boleh paksa tapi peratusannya tidak banyaklah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, Pas kini giat mengadakan ceramah dalam talian setiap dua minggu sekali mengikut isu-isu semasa ditetapkan.
“Kita adakan ceramah menerusi Facebook. Jadi, sesiapa yang ada akaun Facebook, boleh tengok. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan.
"Apa yang kita bincangkan pun mengikut perkembangan semasa dan berdasarkan kapasiti kerjasama kita bersama dalam Perikatan Nasional," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!