Guan Eng cadang Pulau Pinang tubuh pasukan OSC

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang dicadangkan untuk menubuhkan pasukan Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC) seperti dilakukan di kawasan Lembah Klang bagi menyelaraskan pelaksanaan vaksinasi dengan lancar.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang pada ketika ini ketinggalan apabila hanya 21.7 peratus populasi dewasa telah divaksinasi dan berada di kedudukan ke-10 dari 14 negeri yang menerima dua dos vaksinasi penuh pada 31 Julai lalu.

Menurutnya, dengan jangkitan harian di Pulau Pinang yang mencatat rekod 752 kes pada 1 Ogos memperlihatkan ada keperluan untuk mempercepatkan proses vaksinasi sebagai perlindungan yang paling berkesan terhadap Covid-19 selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Peningkatan jangkitan harian dan kematian di Pulau Pinang telah menambahkan ketakutan dan meningkatkan permintaan untuk vaksinasi lebih cepat.

"Saya menerima banyak aduan mengenai proses vaksinasi yang lambat, dengan banyak yang tidak berpuasa hati kerana masih tidak mendapat janji temu vaksinasi walaupun mereka telah mendaftar sejak Februari," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempertikaikan aplikasi perisian MySejahtera yang menelan belanja RM70 juta tidak memberikan janji temu vaksinasi terlebih dahulu kepada mereka yang telah mendaftar lebih awal.

Katanya, kadar vaksinasi yang lebih cepat akan membolehkan ekonomi dibuka semula dengan lebih pantas.

"Walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berada di bawah kuasa kerajaan Persekutuan, rakyat telah mendesak wakil rakyat PH untuk terus menekan kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kadar vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Pulau Pinang telah memutuskan untuk tidak membeli vaksin dan sebaliknya memilih untuk bergantung kepada PICK bagi mencapai imuniti kelompok di negeri ini.

"Kerajaan Persekutuan perlu membalas kepercayaan yang diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk memastikan penghantaran vaksin lebih awal, dan tidak membiarkan Pulau Pinang ketinggalan sehingga berada di kedudukan ke-10 daripada 14 negeri di Malaysia dalam kadar vaksinasi dos penuh," katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Pulau Pinang antara tiga penyumbang utama pendapatan cukai dan wilayah eksport utama untuk Malaysia dan merupakan satu-satunya negeri perindustrian di negara ini dengan 95 peratus daripada KDNK datang daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Justeru, pihaknya berharap pihak berkuasa yang berkenaan dapat mengambil langkah proaktif untuk mempercepatkan vaksinasi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!