Covid-19: Labuan lancar operasi bersepadu di perairan
LABUAN - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan melancarkan operasi Covid-19 bersepadu melibatkan 13 agensi penguat kuasa hari ini, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mencegah jangkitan ke pulau bebas cukai itu.
Pengerusinya, Rithuan Ismail berkata, operasi bersepadu di pantai dan perairan Labuan itu akan dijalankan sepanjang 24 jam selama sebulan.
“Kami ingin mengekalkan momentum pencapaian dalam melandaikan keluk Covid-19 dan seiring dengan imuniti kelompok yang dicapai Labuan.
“Memandangkan kami menuju ke zon hijau dan beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kami ingin mengekalkan momentum itu,” katanya pada sidang akhbar sebelum pelancaran operasi itu di Pos Kawalan operasi di Taman Tanjung Purun, di sini.
Rithuan berkata, penduduk tempatan perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan pendatang haram atau mereka yang melakukan perjalanan tanpa permit polis.
“Marilah kita bekerjasama untuk menjaga imuniti kelompok Labuan...mengesan mereka yang masuk tanpa permit adalah tugas yang kritikal untuk dilaksanakan.
“Oleh kerana Labuan masih dalam Fasa Satu PPN, kita perlu memastikan kes harian Covid-19 di sini adalah terkawal, kita tidak mampu melihat Labuan kembali kepada keadaan yang sukar,” katanya.
Ketua penyelaras operasi berkenaan yang juga Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, operasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa melibatkan 170 anggota daripada 13 agensi penguat kuasa dan akan menumpukan beberapa hotspot yang dikenal pasti di perairan Labuan dan berhampiran sempadan pulau itu.
“Dua peranan penting yang dimainkan agensi penguat kuasa ialah bagi memastikan tiada pencerobohan di sekitar perairan Labuan dan memastikan pengembara yang memasuki Labuan perlu melalui pintu masuk yang diwartakan iaitu terminal feri dan Lapangan Terbang Labuan,” katanya.
Antara 13 agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang akan menggunakan aset masing-masing ketika operasi.
Ahmad berkata, operasi 24 jam itu akan dijalankan di sepanjang pesisir pantai sejauh 33 kilometer (km) di pulau itu.
“Labuan memiliki garis pantai sepanjang 66 km...daripada jumlah itu, 33 km adalah garis pantai hadapan dan selebihnya tidak dijaga dan menjadi laluan haram untuk pendatang haram,” katanya.
Pada 27 Julai lepas, Labuan menjadi Wilayah Persekutuan pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus daripada populasi dewasa telah mendapat vaksinasi penuh.
Labuan juga telah melandaikan keluk Covid-19, mencatatkan kes harian positif satu angka beberapa hari lepas dan tiada kematian direkodkan.
Terdapat tujuh kes baharu Covid-19 di Labuan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 9,673. - Bernama
TAG: Labuan, operasi bersepadu, perairan, COVID-19, imuniti kelompok
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!