Imigresen tahan ejen pekerja asing haram warga India

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen menahan seorang lelaki warga India yang aktif menjalankan kegiatan sebagai ejen pekerja asing haram sejak lima tahun lepas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki berusia 36 tahun itu, yang telah tinggal di negara ini sejak 2003, ditahan di Pangsapuri Seri Gembira, Taman Bamboo, Kuala Lumpur dalam serbuan Ops Serkap semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan 20 pasport India dan satu pasport Indonesia.

"Suspek dikatakan boleh mengaut keuntungan lebih RM15,000 sebulan hasil kegiatan tersebut," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, seorang wanita tempatan turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam menjalankan kegiatan tersebut bersama suspek.

Khairul Dzaimee berkata, Jabatan Imigresen percaya kegiatan ejen haram itu membuka ruang kepada kes-kes penipuan serta peras ugut ke atas majikan dan seterusnya terhadap pekerja asing.

"Jabatan Imigresen akan bertindak lebih agresif dalam mengesan rangkaian ejen-ejen tempatan yang turut bersekongkol dengan ejen warga asing untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Gerakan memburu mereka telah diaturkan bersama pihak berkuasa lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairul Dzaimee turut memberi amaran kepada majikan dan orang ramai supaya tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan khidmat orang ketiga atau ejen haram dalam berurusan dengan Imigresen. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!