Semangat kesukanan sejati Barshim, Tamberi

Barshim (kiri) bersama Tamberi meraikan kejayaan memenangi emas dalam acara lompat tinggi lelaki di Stadium Olimpik, Tokyo pada Ahad. - Foto AFP
Barshim (kiri) bersama Tamberi meraikan kejayaan memenangi emas dalam acara lompat tinggi lelaki di Stadium Olimpik, Tokyo pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

ATLET lompat tinggi lelaki Qatar, Mutaz Barshim tidak hanya menambah pingat emas Sukan Olimpik dalam koleksi kejuaraannya, namun temasya Tokyo 2020 menjadi pentas semangat kesukanan sejati apabila dia berkongsi kejuaraan dengan pesaing dari Itali, Gianmarco Tamberi dalam acara lompat tinggi lelaki.

Terdahulu, kedua-dua atlet berusia 30 dan 29 tahun itu mengekalkan momentum positif lompatan terbaik masing-masing pada ketinggian 2.37 meter (m) sehinggalah percubaan untuk ketinggian 2.39m.

Seorang lagi pesaing mereka, Maksim Nedesekau juga berjaya melakukan lompatan ketinggian sama, namun atlet dari Belarus tersebut kempunan emas selepas gagal dalam lompatan pertama sebelum itu walaupun berjaya memecahkan rekod kebangsaannya.

Menurut Barshim, seorang pegawai Tokyo 2020 menawarkan mereka berdua untuk melakukan lompatan bagi menentukan pemenang selepas kegagalan dalam tiga lompatan pada ketinggian itu.

“Bolehkah kami berdua memiliki dua emas?” tanya Barshim kepada pegawai tersebut.

Pegawai itu kemudian mengangguk menyebabkan kedua-dua atlet tersebut berpegangan tangan sambil berteriak kegembiraan.

“Saya memandangnya, dia memandang saya, dan kita mengetahuinya. Kita hanya saling melihat dan kita tahu, itu saja, ia sudah selesai. Tidak perlu lompatan.

“Dia adalah antara rakan baik saya bukan sahaja di trek tetapi di luar trek kerana kami kerap bekerjasama. Momen ini adalah impian Sukan Olimpik yang akhirnya menjadi kenyataan. Ini adalah semangat sejati, semangat ahli sukan dan kami di sini menyampaikan mesej ini,” kata Barshim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bagi Tamberi ia juga merupakan situasi menang-menang buatnya yang mengalami keretakan tumit sehari sebelum Rio 2016.

“Selepas pulih kecederaan, tumpuan saya hanya mahu kembali semula beraksi, tapi sekarang saya dapat emas dan sesungguhnya ini menakjubkan apatah lagi saya mengimpikan detik sebegini beberapa kali,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!