Anak Muda Perak adakan 'flash mob' protes kerajaan
IPOH - Seramai sembilan individu menggelarkan diri mereka sebagai Anak Muda Perak mengadakan 'flash mob' di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah dan Persiaran Medan Ipoh di sini pada Isnin.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kumpulan itu mula bergerak pada jam 4 petang dengan mengibarkan bendera hitam sambil memegang plakad yang tertera 'PM letak jawatan', 'kerajaan gagal' serta 'buka parlimen'.
Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh turut berada di lokasi terbabit bagi memantau keadaan.
Wakilnya, Steven Tiw Tee Siang berkata, 'flashmob' itu merupakan protes terhadap kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani kes Covid-19 meskipun darurat dilaksanakan.
Menurutnya, kerajaan juga dilihat gagal apabila wakil rakyat daripada pembangkang turut dihalang untuk memasuki bangunan Parlimen.
"Ini berlaku disebabkan kerajaan memang gagal walaupun melaksanakan darurat, kita lihat kes Covid-19 setiap hari makin meningkat. Jadi, apa kerajaan hari ini buat?
"Pagi tadi (Isnin) kita boleh nampak wakil rakyat yang ingin bawa suara rakyat dalam Parlimen tidak dibenarkan masuk bangunan Parlimen," katanya ketika ditemui media di sini.
Tee Siang berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa untuk meletakkan jawatan serta-merta.
"Ini adalah kerajaan yang menindas wakil rakyat dan suara rakyat. Saya berharap perdana menteri meletak jawatan efektif hari ini.
"Kerajaan PN juga didapati tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.
'Flash mob' berkenaan diadakan secara terkawal selama sejam sebelum kumpulan itu bersurai pada jam 5 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!