3,600 hingga 8,000 vaksin di PPV KL Convention Centre secara jumpa terus
KUALA LUMPUR - Kira-kira 3,600 hingga 8,000 suntikan vaksin akan diberikan setiap hari sepanjang operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KL Convention Centre yang menjalankan vaksinasi secara jumpa terus bagi penduduk di Lembah Klang bermula hari ini hingga 22 Ogos.
Pengurus PPV3 KL Convention Centre, Dr Zaisuria Azmi berkata, kapasiti vaksinasi bergantung kepada bilangan kehadiran orang ramai sepanjang tempoh pemberian vaksinasi bermula 2 petang hingga 8.30 malam setiap hari.
“Sebagai permulaan jumlah vaksinasi yang akan diberikan sebanyak 3,600 namun kapasiti akan ditingkatkan bergantung kepada jumlah kehadiran dengan jumlah maksimum sebanyak 8,000 suntikan sehari.
“Jika ada keperluan kita akan tingkatkan kapasiti vaksinasi dan tingkatkan jumlah petugas yang ketika ini seramai 231 orang terdiri daripada petugas kesihatan dan bukan kesihatan,” katanya kepada pemberita di PPV KL Convention Centre di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pada hari pertama operasi PPV KL Convention Centre yang bermula 2 petang, seramai 500 penerima vaksin telah membuat pendaftaran setakat jam 2.30 petang.
“Proses berjalan lancar setakat ini dan ramai juga yang datang... bagi mereka yang telah hadir dan gagal mendapatkan vaksinasi disebabkan dos vaksin pada hari tersebut sudah habis, kita akan minta mereka datang pada keeseokan harinya,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati, orang ramai sudah mula tiba di KL Convention Centre seawal 12 tengah hari untuk membuat pendaftaran penerimaan vaksinasi masing-masing.
Vaksinasi di PPV KL Convention Centre membabitkan tiga saluran iaitu HCO F, HCO G dan HCO H yang dikhususkan bagi golongan berumur 40 tahun ke atas atau golongan ‘komorbid’ (kumpulan berisiko tinggi untuk mengalami kesan teruk daripada Covid-19 sekiranya dijangkiti) yang akan berlangsung sehingga Rabu depan.
Pendaftaran dilakukan di tingkat satu manakala suntikan vaksinasi dijalankan di tingkat satu, tiga dan empat dan tepat 2 petang tadi, orang ramai mula dibenarkan masuk untuk mendapat vaksinasi mereka selepas pendaftaran.
Proses vaksinasi di KL Convention Centre adalah antara sembilan PPV yang menjalankan vaksinasi secara jumpa terus bagi penduduk di Lembah Klang ini kemudiannya diteruskan bagi semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas bermula Khamis hingga 22 Ogos.
Penerima vaksin, Samuel Soon, 53, berkata, beliau sebelum ini terpaksa membatalkan janji temu yang telah diperoleh kerana lokasi vaksinasi di Shah Alam yang jauh dari rumahnya di Puchong.
“Lepas buat pembatalan sampai sekarang belum dapat janji temu, jadi saya ambil peluang ini untuk dapatkan vaksinasi. Saya sangat berpuas hati kerana prosesnya sangat cepat,” katanya.
Sementara itu di Shah Alam, kira-kira 3,000 orang hadir ke PPV Ideal Convention Centre (IDCC), di sini untuk menerima vaksin secara secara jumpa terus namun keadaan dilihat terkawal dengan bantuan pelbagai agensi penguat kuasa dan sukarelawan.
Seorang penerima, Kamarulzaman Baharudin, 46, berkata, beliau tiba di PPV itu seawal 12 tengah hari dari Puchong kerana terlepas tarikh janji temu disebabkan keadaan beliau yang kurang sihat ketika itu.
Di Kepala Batas, PULAU PINANG, seorang wanita warga emas berusia 100 tahun gembira dan bersyukur kerana dapat menerima suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus di PPV Dewan Millenium, hari ini.
Che Ah Taib, 100, yang tinggal di Pongsu Seribu, dibawa anaknya Salim Saad, 63, menerima suntikan Covid-19 secara pandu lalu di PPV itu berikutan wanita warga emas berkenaan tidak kuat untuk berjalan dan memerlukan kerusi roda.
"MySejahtera baru sahaja daftar mungkin sebab tu belum panggil (suntikan vaksin) tapi saya ambil kesempatan untuk datang secara terus hari ini selepas dimaklumkan ia dibuka kepada warga emas dan Alhamdulillah mak dapat suntikan pertama vaksin.
Di IPOH, Program Vaksin Perak (PVP), SilverVax, yang mula beroperasi hari ini mendapat sambutan positif apabila kira-kira lebih 150 syarikat swasta di seluruh negeri mendaftar untuk menempah dan membeli vaksin sejak permohonan dibuka 23 Julai lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak Holdings Bhd (MHB), Nizran Noordin berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 100,000 penerima vaksin melalui program itu yang terdiri daripada kalangan pekerja dan pasangan yang bekerja dengan syarikat swasta.
"Setakat ini di seluruh Perak lebih 150 syarikat swasta telah mendaftar untuk membeli vaksin dan mereka ini hanya menunggu panggilan untuk menerima vaksin. Bagaimanapun program ini bukanlah untuk mengaut keuntungan namun ia adalah untuk membantu kerajaan negeri Perak mencapai imuniti kelompok segera.
"Seperti yang diketahui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) merupakan program vaksin secara percuma namun program kami ini berbayar. Untuk pembelian boleh layari laman web kami www.vaksinperak.com," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!