Maybank Singapore saman Pengerusi NFC
KUALA LUMPUR - Maybank Singapore Limited memfailkan saman terhadap Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya yang didakwa gagal membayar dua pinjaman perumahan berjumlah S$2,534,203.41 bagi pembelian hartanah di Singapura.
Mohamad Salleh merupakan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Saman itu yang difailkan menerusi Tetuan Benjamin Dawson pada 19 Julai lepas di Mahkamah Tinggi di sini menamakan Mohamad Salleh, 73, Wan Shahinur Izran, 37, dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, 35, sebagai defendan.
Pernyataan tuntutan Maybank Singapore Limited mendakwa atas permintaan kesemua defendan, plaintif telah memberi pinjaman perumahan untuk hartanah di Orchard Scotts, Singapura sebanyak S$4.3 juta tertakluk kepada terma dan syarat dalam surat-surat tawaran bertarikh 20 November 2009 dan 10 November 2017.
Kesemua defendan didakwa telah ingkar untuk membayar ansuran bulanan sebanyak S$7,225 dan plaintif telah menarik balik pinjaman serta menuntut pembayaran penuh sebanyak S$3.94 juta yang merupakan jumlah terhutang setakat 22 Jun 2018 bersama dengan faedah yang terakru ke atasnya.
Plaintif mendakwa telah melaksanakan haknya di bawah Gadai Janji dan memperoleh perintah mahkamah bertarikh 23 Januari 2019 daripada Mahkamah Tinggi Singapura untuk mendapatkan semula hartanah serta menjualnya melalui satu lelongan pada 28 Jun 2019 dengan harga S$3.2 juta.
Bagaimanapun, harga jualan itu tidak mencukupi untuk melangsaikan keseluruhan jumlah hutang di bawah pinjaman tersebut yang masih tertunggak sebanyak S$1.3 juta.
Bagi hartanah kedua, plaintif mendakwa memberi pinjaman perumahan sebanyak S$5.3 juta kepada Mohamad Salleh dan Wan Shahinur untuk pembelian hartanah di Central Boulevard, Singapura dengan ansuran bulanan S$8,700.
Plaintif mendakwa mereka telah gagal melunaskan tunggakan dalam pembayaran pinjaman itu dan menuntut S$5.05 juta yang merupakan jumlah tertunggak dan terhutang setakat 4 Jun 2018 bersama dengan semua faedah yang terakru ke atasnya.
Plaintif kemudian melaksanakan haknya di bawah Gadai Janji dan menperoleh perintah mahkamah bertarikh 23 Januari 2019 daripada Mahkamah Tinggi Singapura untuk mendapatkan semula hartanah itu dan menjualnya melalui jualan treati peribadi pada harga S$4.68 juta.
Plantif mendakwa harga jualan hartanah itu tidak mencukupi untuk melangsaikan keseluruhan keberhutangan di bawah pinjaman itu dan menuntut kedua-dua defendan membayar S$1.16 juta bersama dengan faedah yang terakru ke atasnya.
Sehubungan itu, plaintif memohon untuk memasukkan penghakiman terhadap kesemua defendan antaranya menuntut jumlah terhutang sebanyak S$1.36 juta daripada ketiga-tiga defendan dan S$1.16 juta daripada Mohamad Salleh dan Wan Shaninur serta perintah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Semakan menerusi sistem mahkamah mendapati saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 30 Ogos ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Khairun Neesha Raj Mohamed.
Mohamad Salleh dan dua anaknya itu juga berdepan saman oleh Kerajaan Malaysia yang menuntut NFC membayar balik pinjaman serta faedah berjumlah RM253.6 juta membabitkan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
Kes itu ditetapkan untuk sambung bicara pada 24 Januari 2022 di Mahkamah Tinggi di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!