Kedah Darul Aman tidak sabar kembali ke padang

Aidil Sharin Sahak
Aidil Sharin Sahak
A
A
A

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) yang menjalani tempoh kuarantin 14 hari sejak 21 Julai lepas sudah tidak sabar untuk kembali berlatih bagi menghadapi saingan Liga Super menentang Terengganu FC pada 14 Ogos depan.

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, tempoh kuarantin itu akan tamat esok dan sesi latihan penuh akan bermula pada lusa (Rabu) dengan perkara utama yang akan dilakukan adalah mengenal pasti tahap kecergasan semua pemain.

“Perkara pertama yang akan dilakukan pada hari pertama latihan selepas kuarantin adalah melakukan ujian kecergasan untuk kita tahu berapa banyak kadar kecergasan kita turun selepas 14 hari dan daripada situ kita akan buat persediaan untuk menghadapi Terengganu.

“Kita tidak mahu dalam persediaan dan latihan ini, kita menghadapi masalah kecederaan dan paling penting kita mahu cari balik momentum permainan kita seperti sebelum ini,” katanya yang ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Seluruh warga KDA FC termasuk barisan kejurulatihannya menjalani kuarantin selepas dua pemain didapati positif Covid-19 sekali gus menyebabkan beberapa perlawanan Liga Super membabitkan pasukan itu ditunda dan sesi latihan pasukan juga tidak dapat diadakan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kedudukan KDA FC yang masih kekal berada di tangga ketiga Liga Super walaupun bermain kurang tiga perlawanan, Aidil Sharin berkata, keadaan itu ada baik dan buruknya serta mahu pemain tidak mengambil mudah situasi berkenaan.

Beliau berkata, situasi baik ialah pasukan masih berada kedudukan ketiga walaupun tidak beraksi dalam tiga perlawanan yang terpaksa ditangguhkan sebelum ini tetapi penting untuk pastikan fokus pasukan tidak terganggu dan meletakkan sasaran tiga mata bertemu Terengganu FC kelak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!