Perak anjur kursus kejurulatihan olahraga dunia

Karim Ibrahim
Karim Ibrahim
A
A
A

PERSATUAN Olahraga Amatur Perak (Perak AA) akan menganjurkan Kursus Kejurulatihan Pendidikan dan Persijilan Pelatih Tahap 1 Atletik Dunia secara maya bermula 4 hingga 16 Ogos ini.

Perak AA dalam satu kenyataan memaklumkan kursus ini telah mendapat kelulusan sepenuhnya dan akan dipantau oleh Atletik Dunia (WA) serta terhad kepada 24 peserta yang telah dimuktamadkan.

Ia akan dikendalikan oleh dua pensyarah kanan terpilih WA iaitu S Anbarasu dari Malaysia dan Roselyn Hamero dari Filipina, dan akan dirasmikan oleh Presiden AAA Perak, Datuk Karim Ibrahim.

“Perak AA berhasrat menganjurkan kursus kejurulatihan berprestij ini, kerana kami ingin selarikan fokus kini terhadap pembangunan di peringkat ‘akar umbi’ terutamanya dalam menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) pada 2023 dan acara sukan yang seterusnya.

“Kami juga berhasrat untuk menggalakkan lebih ramai jurulatih muda dan bersemangat dari Perak, yang akan ditempatkan di pelbagai pusat di seluruh negeri.

"Kami amat berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak, yang telah memberikan sokongan penuh dalam memastikan kejayaan kursus ini, dengan penglibatan para guru untuk menyertainya," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Olympian, Nauraj Singh akan turut serta dengan mewakili Angkatan Tentera Malaysia.

Peserta yang berjaya lulus dalam markah yang ditetapkan oleh WA, akan menerima Sijil Kejurulatihan Tahap 1 WA CECS dan mempunyai peluang untuk meningkatkan kemahiran kejurulatihan ke Tahap 2, malah boleh menjadi Pensyarah WA jika mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!