Tangani segera masalah pencemaran air di Parit D3 - Paya Mahang

Air berkelodak dan seakan berminyak.
Air berkelodak dan seakan berminyak.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi berkaitan digesa segera menyiasat dan menyelesaikan masalah pencemaran air dari Parit D3 - Paya Mahang di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS).

Presidennya, Meenakshi Raman berkata isu berkenaan telah dibangkitkan kepada pihak berwajib namum tiada tindakan berkesan diambil malah apa yang dilihat pada ketika ini keadaan kualiti air semakin buruk.

Menurutnya, saliran air dari parit tercemar ini menuju ke lembangan Sungai Jawi seterusnya ke muara Sungai Jawi dan akhirnya ke laut.

"Pencemaran air parit terbabit dapat dilihat dengan jelas melalui jalan utama yang terletak di selekoh Jalan Besar menghala ke Simpang Ampat.

"Jelas kelihatan kualiti air dalam parit berkenaan kotor, berbau, berkelodak dan seakan berminyak," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Selasa.

Meenakshi berkata, pihak berkuasa perlu menganalisis sampel air bagi mengetahui kandungan serta paras pencemaran di parit-parit tersebut.

Jelasnya, maklumbalas yang SAM terima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) SPS yang telah menjalankan siasatan terhadap aduan sebelum ini menyatakan antara punca parit menjadi hitam dan kotor disebabkan berlakunya aktiviti penternakan khinzir di persekitaran Parit D3 (Paya Mahang).

Tambahnya, turut dilaporkan air dari ladang ternakan berkenaan mengalir secara terus ke dalam parit berdekatan dan seterusnya masuk ke dalam parit yang dimaksudkan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak JPS juga turut memaklumkan bahawa perkara ini telah dibawa ke pengetahuan Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas Menangani Isu Pencemaran Sungai Dan Laut Negeri Pulau Pinang.

"Jelas di sini perkara ini telah lama berlaku dan diketahui pihak berkuasa tetapi masalah pencemaran ini nampaknya tiada kesudahannya, seperti yang berlaku di Kampung Selamat, Tasik Gelugor, di mana sisa kumbahan ternakan babi membelenggu penduduk selama lebih 40 tahun," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Meenakshi berkata Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan Peraturan Pelesenan Penternakan (Negeri Pulau. Pinang) Babi 2020 perlu dikuatkuasakan dengan tegas untuk menyelesaikan masalah pencemaran dari penternakan babi di sini.

Tambahnya, SAM percaya jika masalah pencemaran di Parit D3 ini dibiar berterusan tanpa ada sebarang kawalan dan penguatkuasaan yang dilakukan maka sampai bila pun perkara ini tidak akan selesai malah akan lebih rumit dan menelan kos yang sangat tinggi sekiranya projek pemulihan dirancang oleh pihak kerajaan negeri di masa akan datang.

Sehubungan itu, pihaknya menyarankan supaya pihak berkuasa yang berkaitan mengadakan operasi bersepadu serta mengenakan tindakan yang lebih tegas dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pelaku yang melakukan pencemaran ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!