Lagu 'My Home K'Klate' terjemah keunikan budaya Kelantan
KOTA BHARU - Seorang remaja berbangsa Cina tekad mencipta sebuah lagu bertajuk 'My Home K'late' berkonsepkan rap bagi menterjemahkan keunikan negeri ini kepada masyarakat luar sekali gus memartabatkan keaslian budaya negeri Kelantan,
Menggunakan lirik dari tiga bahasa iaitu bahasa Melayu loghat Kelantan, Inggeris dan Cina, Koit Jun Leong atau Dennis, 21 mahu lagu ciptaannya itu membantu masyarakat mengenali negeri ini dengan lebih dekat lagi.
Mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan lagu berkenaan, Dennis cuba memasukkan semua elemen keunikan, kebudayaan mahupun adat yang dipraktikkan di negeri ini selari dengan muzik 'trending' masa kini.
"Sebelum ini ramai masyarakat luar tidak kenal dan faham dengan kebudayaan kita di Kelantan. Cara makan, cara bercakap dan sebagainya. Jadi saya fikir saya perlu lakukan sesuatu untuk bantu pemahaman mereka melalui pemilihan muzik yang selari dengan perkembangan semasa.
"Genre muzik ini memainkan peranan penting memandangkan sebelum ini kita juga ada banyak lagu-lagu masyarakat dan lagu rakyat. Namun tidak semuanya melekat di jiwa kita," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Video pendek nyanyian Dennis mula tular di laman-laman sosial sejak dua hari lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada netizen.
Keberanian pemuda berbangsa Cina ini menyanyikan lagu dengan loghat Kelantan mencerminkan kesepaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini dan dia juga menjadikan penyanyi K-Clique sebagai insipirasi dalam menyanyikan lagu berkenaan.
Malah dia tidak pernah segan dan kekok untuk bercakap bahasa Melayu dengan loghat Kelantan walaupun ada ketikanya terpaksa memikirkan terlebih dahulu penggunaan perkataan yang sesuai.
Lagu berdurasi tiga minit tersebut berada di dalam album Ting Jian ataupun 'Voice Over' bersama sembilan lagu lain yang dicipta oleh Penerbit Muzik, Ang Wui Chong dan Pengarah Muzik Video, Dexter Lee manakala studio serta pengurusan muzik diuruskan sepenuhnya oleh Loke Fo yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengurusan acara di dalam dan luar negeri.
Sementara itu, Wui Chong memaklumkan tertarik untuk bekerjasama dengan Dennis apabila dia mendengar lagu berkenaan dimainkan dan yakin lagu tersebut boleh 'melangkah' lebih jauh dalam persada seni walaupun menggunakan tiga bahasa berlainan.
"Saya ada satu kumpulan pemuzik yang lengkap dan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami hilang kerja dan tidak mampu buat projek 'sound sistem' dan sebagainya. Jadi dengan cara inilah untuk kami kembali walaupun dalam keadaan PKP, namun masih ada caranya untuk kami kembali pada muzik.
"Orang ramai boleh dapatkan lagu ini melalui pembelian di laman Shopee atau boleh maklumkan pada kami untuk urusan selanjutnya. Kami yakin lagu ini akan mendapat tempat di hati masyarakat. Ini adalah jiwa kita, diri kita, budaya kita dan kita perlu bangga.
"Pemilihan muzik dan lirik juga sangat bersesuaian, maka ia sudah cukup sempurna tanpa sebarang proses edit yang rumit, tambahan pula Dennis mempunyai suara yang cukup unik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!