Aktivis politik keluar hantaran jelik mengenai Islam didakwa

Sarajun Hoda (kiri) yang didakwa atas tuduhan mengeluarkan hantaran jelik mengenai agama Islam di laman Facebook mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping di sini pada Selasa.
Sarajun Hoda (kiri) yang didakwa atas tuduhan mengeluarkan hantaran jelik mengenai agama Islam di laman Facebook mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping di sini pada Selasa.
A
A
A

TAIPING - Seorang aktivis politik tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping di sini pada Selasa atas tuduhan mengeluarkan hantaran jelik mengenai agama Islam di laman Facebook.

Tertuduh, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Sarajun Hoda Abdul Hassan, 65, didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 April 2021 antara jam 9 pagi hingga 12.52 tengah hari melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil Facebook Sarajun Hoda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki tersebut secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tertuduh yang juga Bekas Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Timbalan Pendakwaraya, Sariza Ismail meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pihak pembelaan yang diwakili tiga peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Abraham Au dan Manjit Singh Saini meminta jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya memberikan kerjasama penuh. Hakim Siti Noraida kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM8,000 dan pada 7 Oktober 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada 1 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!