Covid-19: Kelantan jangka turun kes dalam dua minggu
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menjangkakan jumlah kes jangkitan Covid-19 di negeri ini berkurangan dalam tempoh dua minggu lagi.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, pihaknya telah menjangka peningkatan kes Covid-19 akan berlaku selepas Hari Raya Aidiladha.
"Sebelum ini pun, kita sudah jangka kes akan naik sikit bila tiba musim raya dan jangka turun dua minggu atau sebulan selepas hari raya sebagaimana berlaku kini.
"Setakat ini, 37 peratus daripada rakyat Kelantan telah mendapatkan dos pertama dan 20 peratus pula mendapatkan dos kedua. Insya-ALLAH kita akan capai imuniti 40 peratus menjelang hujung Ogos," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Beliau ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Kompleks Islam Jubli Perak selepas meninjau proses pemberian vaksin melibatkan peniaga di negeri ini.
Mengulas lanjut, Izani berkata, kerajaan negeri juga berterima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan penyediaan vaksin kepada Kelantan sebagaimana yang dinyatakan Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini.
Tambah beliau, walaupun kerajaan membuat permohonan tambahan vaksin pada Khamis lalu, namun pihaknya memahami proses yang perlu dilaksanakan memandangkan situasi berkenaan turut dialami negeri lain.
"Apa yang penting, diharap permohonan kita dipertimbangkan kerajaan sebaiknya. Saya pun berterima kasih kepada peniaga yang datang hari ini sebab mereka beri kerjasama yang baik.
"Untuk Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sahaja kita ada 2,000 peniaga dan kita harap semua peniaga lain pun akan dapat daftar vaksin masing-masing," katanya.
Izani berkata, sehingga kini, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah menggunakan hampir 100 peratus vaksin yang dibekalkan setiap minggu walaupun pendaftaran melalui MySejahtera adalah rendah.
"Ia berikutan proses vaksinasi yang turut dijalankan melalui Program Outreach Covid-19 yang diadakan di seluruh daerah sejak beberapa bulan yang lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!