Hazani Pengarah KDNKA Bukit Aman berkuat kuasa 6 September
KUALA LUMPUR - Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali akan memegang jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman berkuat kuasa 6 Sept.
Beliau adalah antara 64 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa pada tarikh itu.
Superintendan Komunikasi Korporat PDRM, Superintendan A Skandaguru dalam kenyataan berkata, tempat Hazani akan diganti Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan, Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Idris Abdullah dengan memangku pangkat Komisioner Polis.
Pertukaran lain melibatkan Timbalan Pengarah Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar M M Sree yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis.
“Turut ditukarkan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis,” katanya.
Dalam pada itu, Skandaguru berkata, Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-Undang JSJ Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa akan dilantik sebagai Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Timbalan Komisioner Polis.
"Jawatan Rusdi akan digantikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
"Sementara jawatan Mohamad Zainal pula akan diambil alih oleh Penolong Pengarah (D4) Central Criminal Intelligence Unit (CCIU)/Rekod Jenayah, JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya," ujarnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!