Sempat daftar Perkeso sebelum meninggal

Ismail (tiga, kiri) bersama Mustafa (kiri) ketika menyerahkan cek pengurusan mayat dan bayaran pencen bulanan kepada Irawati.
Ismail (tiga, kiri) bersama Mustafa (kiri) ketika menyerahkan cek pengurusan mayat dan bayaran pencen bulanan kepada Irawati.
A
A
A
SHAH ALAM - Tindakan bekas seorang pemandu teksi berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), 20 hari sebelum dia meninggal dunia berbaloi apabila keputusannya itu kini menjamin hidup keluarga yang ditinggalkannya.

Pengarah Perkeso Selangor, Mustafa Deraman berkata, pemandu teksi berkenaan Allahyarham Nyak Fauzul Abdul Aziz berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pada 4 September lalu.

Allahyarham meninggal dunia pada 24 September lalu akibat komplikasi jantung ketika memandu .

“Di bawah skim tersebut, balunya yang bernama Irawati layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan juga Faedah Orang Tanggungan dalam bentuk pencen RM3,555 (sebulan) seumur hidup.

“Diharap sumbangan dapat meringankan beban isteri dan tiga anak Allahyarham yang masih kecil,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham ketika mengadakan lawatan bersama Pengurus Skuad Perkeso Prihatin, Ismail Abi Hashim.

Beliau berkata, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri merupakan skim baharu dilaksanakan Perkeso bagi melebarkan jaringan keselamatan sosial di negara ini.

Menurutnya, skim tersebut bermula 1 Jun tahun lalu di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Sebagai permulaan, skim ini beri perlindungan kepada pemandu teksi bekerja sendiri, pemandu kereta sewa dan perkhidmatan seumpamanya termasuk perkhidmatan e-hailing.

“Skim ini dapat beri jaminan keselamatan sosial yang lebih baik kepada pencarum dan orang tanggungan mereka,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, bermula November tahun ini, skim tersebut boleh dicarum dengan kadar serendah RM13.10 sebulan melalui portal i-Perkeso atau mana-mana cawangan Perkeso berdekatan.

Sejak mula dikuatkuasa, seramai 7,100 pemandu teksi dan e-hailing berdaftar dan dilindungi di bawah skim tersebut di seluruh negara.

“Pada tahun ini, terdapat peningkatan berbanding jumlah pendaftaran pada tahun lalu.

“Ini membuktikan skim berkenaan mula diterima dan tahap kefahaman di kalangan pemandu teksi serta e-hailing meningkat.

“Perkeso gesa semua pemandu yang belum berdaftar supaya segera berdaftar di bawah skim ini agar kebajikan mereka dan keluarga dapat dilindungi oleh Perkeso jika berlaku sebarang bencana berkaitan pekerjaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!