Utamakan rakyat, politik nombor dua: Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kerajaan perlu memberi keutamaan isu- isu rakyat dan menangguhkan isu berhubung politik ketika ini.

Menurut beliau, tindakan kerajaan membawa usul perbahasan Ordinan-ordinan Proklamasi Darurat dalam sidang Parlimen pada September depan bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi menangani penularan wabak Covid-19.

“Pertamanya, kita tidak ada masa sampai September berapa ribu yang akan mati, yang akan dijangkiti, yang akan gantung diri.

“Kalau bagi kepada kami kuasa untuk menangani masalah ini, saya yakin soal politik boleh ditangguhkan kemudian.

“Saya tak nampak ada penyelesaian kalau pun diadakan pada September atau tarikh lain untuk nak betulkan darurat.

Semuanya tak kena dan darurat dibuat tidak mengikut undang-undang,” katanya semasa forum Reset Malaysia yang bertajuk MPN: Solusi Selamatkan Malaysia yang turut disertai oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Musa Nordin pada Selasa.

Dr Mahathir ketika forum Reset Malaysia yang bertajuk MPN: Solusi Selamatkan Malaysia pada Selasa.
Dr Mahathir ketika forum Reset Malaysia yang bertajuk MPN: Solusi Selamatkan Malaysia pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa mengenai usul untuk membahas dan mengungkaikan Ordinan-ordinan Proklamasi Darurat yang akan dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September depan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN), Mahathir akui ia bukanlah bertujuan untuk menentang tindakan kerajaan sebaliknya hanya untuk memperbaikinya.

“Walaupun kerajaan tidak akan memberi kami kuasa untuk menjalankan kaedah lain (MPN) untuk mengawal penularan Covid-19, tapi apa saja yang kita boleh lakukan, kita akan lakukan.

“Kita sendiri mempunyai keupayaan yang sangat terhad tetapi kita akan berusaha mencari jalan untuk mendidik orang ramai tentang wabak ini.

“Kita berharap akan ada Perdana Menteri interim yang mempunyai idea dan pendirian sama, namun jika kewujudannya adalah halangan terhadap cadangan yang diberikan, ia tetap tidak akan membantu,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!