Malaysia terima sumbangan 415,000 AstraZeneca dari UK

Vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca sebanyak 415,000 sumbangan kerajaan United Kingdom selamat tiba pada Selasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Emirates Airlines. -Foto Bernama
Vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca sebanyak 415,000 sumbangan kerajaan United Kingdom selamat tiba pada Selasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Emirates Airlines. -Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Malaysia hari ini menerima 415,000 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca sumbangan kerajaan United Kingdom (UK), yang akan meningkatkan momentum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bekalan vaksin itu dihantar melalui penerbangan Emirates Airlines EK 346 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 2.20 petang.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay hadir untuk menyambut ketibaan vaksin itu.

Bekalan vaksin itu adalah sumbangan keempat negara luar kepada Malaysia. Sebelum ini, Jepun telah menyumbangkan 998,400 dos vaksin AstraZeneca, Amerika Syarikat memberikan 1,000,350 dos vaksin Pfizer dan China dengan 500,000 dos vaksin Sinovac.

Khairy yang menyatakan penghargaan atas sumbangan UK itu dalam sidang media bersama Hay berkata, sumbangan itu akan mempercepatkan vaksinasi di Malaysia.

"Pada masa ini, kami mempunyai kadar vaksinasi harian per kapita tertinggi di dunia yang melebihi negara lain," katanya.

Pada masa ini katanya, kira-kira 62 peratus penduduk dewasa telah menerima suntikan dos pertama manakala 31 peratus lagi telah melengkapkan dua dos vaksin.

Khairy berkata, vaksin AstraZeneca yang diterima adalah untuk penerima dos pertama dan akan dihantar ke negeri-negeri.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga dijadualkan untuk terima kira-kira 500,000 lagi dos vaksin AstraZeneca pada hujung bulan ini untuk kegunaan dos kedua," katanya.

Sementara itu, Charles berharap sumbangan vaksin itu akan melonjakkan pelaksanaan vaksinasi dan melindungi lebih banyak nyawa daripada virus COVID-19.

“Hubungan UK dengan Malaysia bagaikan aur dengan tebing. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Semoga sumbangan vaksin dari Britain dapat membantu meningkatkan lagi kadar vaksinasi di Malaysia, supaya lebih ramai dapat dilindungi daripada ancaman COVID-19,” kata Charles yang boleh berbahasa Melayu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!