Marriott International bakal buka tiga lagi hotel di Malaysia
MARRIOTT International bakal membuka tiga lagi rangkaian hotelnya di Malaysia sebagai langkah memperkukuh kedudukannya di negara ini.
Ketua Pegawai Operasi untuk Asia Pasifik (tidak termasuk Tanah Besar China), Rajeev Menon berkata, langkah tersebut sebagai tambahan kepada 27 hotel sedia adanya yang telah beroperasi di negara ini, disokong oleh asas kukuh bagi pasaran Malaysia.
“The Westin Desaru Coast Resort dijangka beroperasi April depan manakala Four Points by Sheraton yang terletak di sekitar Petaling Street dan Fairfield by Marriott yang berlokasi di Bintulu Paragon dijangka beroperasi pada separuh kedua tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika sesi meja bulat mengenai hala tuju Marriot International bagi Asia Pasifik termasuk di Malaysia.
Menon berkata, walaupun permintaan terhadap pelancongan menurun ekoran ketidaktentuan ekonomi, dalam masa jangka panjang ia tidak bermakna industri ini tidak menarik terutamanya pasaran Malaysia.
“Malaysia tetap menarik, terutamanya bagi jangka masa panjang, disokong oleh ekonomi Asia serta pertumbuhan perjalanan antara Asia.
“Terdapat pertumbuhan memberangsangkan dalam perjalanan masuk dan keluar di pasaran Asia serta pasaran ASEAN, dan faktor domestik di Malaysia masih utuh, semakin ramai orang berkeinginan untuk melancong.
“Pertumbuhan ekonomi adalah kitaran, dan kami percaya bahawa asas bagi Malaysia adalah kukuh,” katanya.
Menon berkata syarikat hospitaliti itu kini mengendalikan 14 jenama di bawah pengendaliannya termasuk tujuh hotel mewah di Malaysia yang menyasar pengunjung liburan.
Malah syarikat itu katanya bakal membuka dua lagi hotel menjelang 2020 iaitu Courtyard by Marriott di Melaka dan sebuah lagi di Lembah Klang serta meneroka hotel gaya hidup di bawah jenama Moxy by Marriott yang menyasarkan pelancong berbajet sederhana dan rendah.
Moxy yang dijadual beroperasi di Putrajaya dalam tempoh dua tahun, kini masih dalam pembinaan.
Dalam pada itu Menon berkata pelan pengembangan tempatan tersebut adalah selaras dengan matlamat Marriott International Asia Pasifik untuk meningkatkan portfolio operasi semasanya sebanyak1,000 hotel menjelang akhir 2020.
Sejumlah 25.8 juta pelancong luar mengunjungi Malaysia pada tahun lalu, dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong dengan perolehan RM100 billion pada 2020 melalui kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.
Mengulas mengenai pembatalan penerbangan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa ekoran kekurangan juruterbang dan kakitangan, Menon berkata Asia mempunyai ramai bakat luar biasa.
"Kita memerlukan kerjasama awam-swasta untuk menyelesaikan masalah ini serta memberi tumpuan kepada mendidik, meningkatkan kecekapan dan usaha untuk terus membina ekonomi,” katanya.
Peningkatan pesat industri pelancongan di Asia telah membawa kepada kemunculan banyak syarikat penerbangan tambang murah dan berjuta pelancong kali pertama yang mahu menaiki pesawat, namun kekurangan juruterbang menjejaskan pertumbuhan perjalanan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!