Wartawan Asia Pasifik, Afrika sertai program CIPCC2019
BEIJING - Seramai 50 wartawan dari negara-negara Asia-Pasifik dan Afrika termasuk Mesir, Kenya, Laos, Filipina, Bangladesh dan Malaysia dipilih untuk menyertai program felowship anjuran Pusat Berita Komunikasi Antarabangsa China (CIPCC) 2019 di China.
Program tahunan anjuran Persatuan Diplomasi Awam China (CPDA) itu diadakan sejak 2014 dan pada tahun ini fokus program itu ialah bagi mengukuhkan pemahaman tentang hubungan dengan China di kalangan negara-negara peserta.
Program felowship selama 10 bulan itu akan diperkukuhkan dengan seminar, latihan amali dan lawatan ke lebih daripada 15 provinsi di China yang mana ini akan memberi peluang kepada para peserta untuk menyelami budaya dan ekonomi masyarakat China.
Naib Presiden CPDA Hu Zhengyue berharap program felowship ini akan memberi lebih kefahaman dan mengukuhkan hubungan dengan China di kalangan negara peserta.
“Pertubuhan media merupakan jambatan bagi mengukuhkan hubungan di kalangan negara-negara berkenaan. Menerusi program ini saya berharap ianya dapat membantu para peserta untuk lebih memahani situasi di China.
“Saya berharap anda dapat menggunakan pena dan kamera anda untuk merakamkan apa yang anda dengar dan lihat di China, mempromosikan keamanan dan persahabatan dan memperkenalkan China secara lebih menyeluruh,” katanya pada majlis perasmian program itu hari ini.
Hu menjangkakan program felowship ini akan memberi inspirasi kepada para peserta untuk menulis pelbagai berita dalam perspektif masing-masing.
Sementara itu peserta dari Mongolia, Anudari Enkhtur berkata program ini merupakan peluang baik untuk bertemu masyarakat dari serata dunia.
“Selain itu kita akan dapat mengenali China. Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk memahami serta bertukar-tukar pandangan tentang negara masing-masing. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!