Peletakan jawatan menteri UMNO akan terus berlaku
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi gambaran peletakan jawatan menteri melibatkan pemimpin UMNO akan terus berlaku dalam tempoh 48 jam.
Beliau berkata, ia telah dimulakan oleh bekas Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai jemaah menteri Perikatan Nasional (PN) pada Selasa.
Perkembangan tersebut katanya adalah susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"(Peletakan jawatan) menteri UMNO ini telah dimulakan oleh Shamsul Anuar, kita menunggu apakah yang akan berlaku pada hari-hari berikutnya
"Setakat ini kita menunggu dalam sejam dua, (atau) sehari ke dua hari lagi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di bangunan WTCKL pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbatal: UMNO
Shamsul Anuar letak jawatan menteri
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar selepas mesyuarat MKT pada Selasa mengumumkan bahawa surat akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan itu, dakwanya menunjukkan kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.
Mengulas berhubung keputusan MKT UMNO, Ahmad Maslan berkata, ia merupakan satu keputusan bersejarah dan menyerahkan isu keabsahan Muhyiddin kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!