Muhyiddin masih kekal sebagai PM dengan 115 sokongan
SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih kekal sebagai Perdana Menteri dengan sokongan seramai 115 orang Ahli Parlimen.
Menurut laporan Suara.TV yang memetik sumber daripada Pejabat Perdana Menteri, kesemua akuan berkanun 115 ahli Parlimen itu merupakan dokumen sah perundangan yang perlu dibatalkan secara individu, bukannya melalui keputusan parti.
“Kenyataan Presiden UMNO adalah keputusan parti yang kita hormati. Namun, kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah berdasarkan sokongan ahli Parlimen bukan perakuan sokongan parti.
"Sehingga jam 7 petang tadi, tiada sesiapa ahli Parlimen yang telah menandatangan akuan berkanun memberi notis untuk menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya pada Selasa.
Dalam pada itu, sumber tersebut turut menyatakan kenyataan media Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Annuar Nasarah hanyalah mengenai peletakan jawatan sebagai menteri dan bukannya menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Pada petang tadi, UMNO mengambil pendirian untuk tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menyaksikan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbatal.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Surat akuan bersumpah ahli Parlimen UMNO yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan telah persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
UMNO juga memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Al-Sultan Abdullah dan tidak akan mempertahankan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal pada mata rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!