Tujuh legenda negara dijulang sebagai anggota Kelab Abad FIFA

Barisan tujuh legenda negara yang membuat penampilan terbanyak di pentas antarabangsa. - Foto Facebook FAM
Barisan tujuh legenda negara yang membuat penampilan terbanyak di pentas antarabangsa. - Foto Facebook FAM
A
A
A

EMPAT legenda negara diisytihar sebagai ahli terbaharu Kelab Abad FIFA termasuk Datuk Soh Chin Ann yang disahkan membuat penampilan (caps) antarabangsa terbanyak dengan mengumpul 195 caps sepanjang 15 tahun menyarung jersi Malaysia.

Pengesahan ini disampaikan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Selasa menerusi kemas kini terbaharu terhadap keanggotaan Kelab Abad FIFA atau FIFA Century Club yang dikhaskan untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas.

Selain Chin Ann, Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M. Chandran dan Datuk Santokh Singh adalah anggota terbaharu dari Malaysia yang menyertai senarai berprestij itu berasaskan statistik rasmi FIFA dengan kerjasama RSSSF.

Terdahulu tiga legenda - Datuk Abdul Shukor Salleh (163 caps), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138 caps) dan mendiang Datuk R. Arumugam (131 caps) diberi pengiktirafan menganggotai Kelab Abad FIFA.

Walaupun penampilan keseluruhan Chin Ann dicatat oleh FAM sebagai 252 caps, FIFA mengiktiraf 195 perlawanan Kategori A yang membabitkan anak jati Melaka itu.

Chin Ann, 71, yang diberi lilitan kapten negara dari 1975 hingga persaraannya pada 1984, berasa bangga dengan pengiktirafan itu.

Sebelum ini, FAM menganugerahkan Chin Ann dengan jam tangan dan wang tunai sebagai tanda meraikan 100 caps pada 1976 dan hadiah yang sama ketika mencatat 200 caps pada 1980.

“Terima kasih FIFA dan FAM atas pengiktirafan ini. Saya berasa cukup terharu atas pengesahan rekod ini.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun FAM pernah mencatat jumlah penampilan saya sebanyak 252 caps, saya percaya ia termasuk semua perlawanan persahabatan menentang kelab luar serta saingan luar pertandingan anjuran FIFA.

“Menjadi pemain dengan jumlah penampilan paling banyak dunia adalah penghargaan tertinggi buat saya,” katanya.

Chin Ann mula mewakili negara dalam saingan Piala Raja Thai 1969 dan menamatkan kerjaya pada pusingan kelayakan Piala Asia 1984 di Kolkata, India.

Chin Ann berkhidmat di bawah beberapa jurulatih termasuk Peter Velappan, Dave Maclaren, Jalil Che Din, Abdul Ghani Minhat, M. Chandran, M. Kuppan, Chow Kwai Lam, Mohamad Bakar, Mohamed Che Su, Karl Weigang dan Frank Lord dengan rekod mewakili negara pada Sukan Olimpik 1972, meraih pingat gangsa Sukan Asia 1974 serta penampilan di pusingan akhir Piala Asia 1980 di Kuwait.

Jumlah penampilan itu mengatasi rekod Ahmed Hassan dari Mesir yang mengumpul 184 caps, disusuli Bader Al Mutawa (181) dari Kuwait dan Ahmed Mubarak dari Oman (180).

Satu-satunya pemain masih aktif yang berada dalam kelompok 10 pemain dengan caps terbanyak ialah Cristiano Ronaldo yang mengumpul 173 caps sehingga Mac 2021.

Zainal Abidin, 58, yang menyarung jersi negara sepanjang 17 tahun, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan.

“Bukan mudah untuk diisytiharkan sebagai anggota senarai pemain yang mengumpul 100 caps di peringkat dunia.

“Saya menganggap ia sebagai ganjaran kepada pengorbanan serta khidmat bakti saya sepanjang hampir dua dekad mewakili negara,” katanya yang mencatat 170 penampilan mengikut rekod FAM, bermula dari Pestabola Merdeka 1980 sehingga Sukan SEA 1997, termasuk empat kali penyertaan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 1985, 1989, 1993 dan 1997.

Chandran yang meninggal dunia pada 2019, secara rasmi tersenarai pada pra-Piala Asia 1963 dan menamatkan kerjaya dengan memungut pingat gangsa di Sukan Asia Tehran 1974 selepas mengumpul 163 caps mengikut rekod FAM.

Santokh, 69, pula secara rasmi menyarung jersi negara pada pra-Piala Dunia 1973 di Seoul dan mengumumkan persaraannya sekembali pulang dari jelajah di New Zealand bagi menghadapi pra-kelayakan Olimpik 1984.

“Saya cukup berterima kasih atas pengiktirafan ini. Walaupun rekod FAM menunjukkan saya mewakili negara sebanyak 145 kali, pengiktirafan dengan jumlah rasmi daripada FIFA adalah satu penghormatan,” katanya.

Meskipun jumlah caps Abdul Shukor dalam catatan FAM ialah 215, beliau menganggap menjadi anggota Kelab Abad FIFA dengan caps rasmi 163 sebagai pengiktirafan tertinggi.

“Ia bukan sekadar statistik. Ia bukti bahawa saya antara kelompok pemain yang menyumbang bakti kepada negara,” kata Abdul Shukor yang bakal menyambut ulang tahun ke-73 pada Disember depan.

SENARAI 7 PEMAIN DENGAN CAPS TERTINGGI HARIMAU MALAYA YANG DIIKTIRAF DALAM KELAB ABAD FIFA

1. Datuk Soh Chin Ann - 195 caps

2. Datuk Abdul Shukor Salleh - 163 caps

3. Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari - 138 caps

4. Mendiang Datuk R. Arumugam - 131 caps

5. Zainal Abidin Hassan - 116 caps

6. Mendiang Datuk M. Chandran - 115 caps

7. Datuk Santokh Singh - 100 caps

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!