Anak yatim piatu Covid-19 perlu dibela

Anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat kemalangan sering berlaku dari masa ke masa. Namun, kematian akibat Covid-19 pada waktu yang hampir sama dan berturut-turut adalah sangat mendukacitakan. Gambar hiasan 123rf.
Anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat kemalangan sering berlaku dari masa ke masa. Namun, kematian akibat Covid-19 pada waktu yang hampir sama dan berturut-turut adalah sangat mendukacitakan. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

TRAGEDI anak-anak yang masih kecil kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 begitu menggusarkan mutakhir ini.

Antara kisah pilu yang menyentap perasaan orang ramai ialah peristiwa lapan beradik di Bukit Beruntung, Selangor yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu bapa mereka pergi buat selama-lamanya dalam tempoh selang tiga hari akibat wabak tersebut.

Si bapa, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pada 18 Julai.

Di Negeri Sembilan, lima beradik menjadi yatim piatu apabila si ayah, Rodzi Tahar, 55, menghembuskan nafas terakhir pada 31 Mei lalu, manakala ibu mereka, Nazita Idris, 45, meninggal dunia enam hari kemudian.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan seorang anak tunggal berusia 12 tahun kini hidup tanpa ibu dan ayah. Kedua-duanya meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor selang empat hari menjelang sambutan Aidiladha yang lalu.

Anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat kemalangan sering berlaku dari masa ke masa. Namun, kematian akibat Covid-19 pada waktu yang hampir sama dan berturut-turut adalah sangat mendukacitakan.

Situasi ini seiring dengan peningkatan 9,403 kes kematian akibat Covid-19 setakat Selasa, mengatasi jumlah kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya iaitu sebanyak 4,634 kes tahun lalu dan 6,167 pada 2019.

Implikasi kehilangan ibu bapa adalah begitu besar kepada anak-anak yang masih kecil.

Artikel Berkaitan:

Kajian Pasukan Bertindak Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat baru-baru ini mendedahkan kira-kira 1.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia kehilangan ibu bapa atau penjaga mereka.

Anak-anak yang kehilangan penjaga utama mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghadapi masalah kesihatan mental dan mengalami kekerasan fizikal, emosi serta kemiskinan.

Justeru, pihak berwajib seharusnya bersikap proaktif dengan mengumpul data anak-anak yatim Covid-19 di negara ini bagi memastikan keselamatan dan masa depan mereka terjamin.

Masyarakat pula disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak kerajaan di samping terus ambil peduli serta melaporkan mengenai anak-anak yang ditimpa nasib sebegini kepada pihak berkaitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!