Bekas tentera OKU hilang mata pencarian

Kerjaya deejay pada majlis kenduri kahwin menjadi sumber rezeki Abdul Malik sejak tahun 2008.
Kerjaya deejay pada majlis kenduri kahwin menjadi sumber rezeki Abdul Malik sejak tahun 2008.
A
A
A

PENDANG - Seorang deejay kenduri kahwin di Kampung Baru, dekat sini hilang mata pencariannya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac tahun lalu bagi mengekang penularan Covid-19.

Abdul Malik Said, 38, yang juga orang kelainan upaya (OKU) berkata, dia hampir menjual peralatan sistem bunyi dan sebuah komputer riba yang digunakan sebagai deejay sejak tahun 2008.

Bagaimanapun, hasrat tersebut dibatalkan selepas berfikir beberapa kali kerana kerjaya deejay adalah sumber rezekinya sebelum ini selepas khidmat dalam tentera berakhir.

"Semasa PKP dikuatkuasakan, saya hilang pendapatan apabila majlis kenduri kahwin tidak lagi dibenarkan sehingga hari ini. Kerjaya inilah yang menjadi sumber rezeki saya sejak 2008 selepas saya lumpuh akibat kemalangan semasa bertugas sebagai anggota tentera di Sarawak pada 2006," katanya yang kini bergantung pada pencen sebanyak RM725 sebulan.

Abdul Malik kini membantu ibunya menjual sate di bahu jalan kira-kira 800 meter dari rumah mereka di Kampung Baru, Pendang.
Abdul Malik kini membantu ibunya menjual sate di bahu jalan kira-kira 800 meter dari rumah mereka di Kampung Baru, Pendang.

Abdul Malik, anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, pencen bulanannya itu digunakan membeli barang keperluan, lampin pakai buang dan peralatan seperti tiub urin untuk dirinya.

Wang tersebut juga digunakan untuk menampung rawatan susulan ibunya, Tom Mehat, 65, yang menghidap penyakit jantung.

"Kini saya meluangkan masa dengan membantu ibu menjual sate di bahu jalan kira-kira 800 meter dari rumah kami. Pendapatan sehari sekitar RM30 sehari sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Jualan sate ibu saya ini juga terjejas teruk semasa PKP ini, iaitu hanya mampu dijual 150 cucuk sate sahaja berbanding 500 cucuk sate sebelum pelaksanaan PKP. Penurunan jualan sate ini juga banyak memberi kesan kepada pendapatan bulanan keluarga kami," ujarnya.

Dia mengakui kadang-kadang terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada kawan-kawan ataupun sanak-saudaranya untuk membeli barang keperluan harian.

"Dua lagi adik saya juga turut membantu ibu menjual sate. Pendapatan harian menjual sate dikumpulkan untuk membeli lauk pauk dan beras agar kami dapat makan bersama-sama.

“Keluarga adik-adik saya juga terjejas kerana suami mereka yang bekerja sebagai tukang rumah dan tukang kimpal memperoleh pendapatan yang tidak menentu. Selain mereka masih perlu menyara anak masing-masing," katanya lagi.

Tom membantu anaknya, Abdul Malik menaiki kerusi roda di rumah mereka di Kampung Baru, Pendang.
Tom membantu anaknya, Abdul Malik menaiki kerusi roda di rumah mereka di Kampung Baru, Pendang.

Bagaimanapun, Abdul Malik bersyukur kerana ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menyumbang sebuah kerusi roda kepadanya bagi memudahkan pergerakan untuk membantu ibunya menjual sate.

Orang ramai yang mahu membantu Abdul Malik boleh menghubunginya di talian 017-8582 869 atau menerusi akaun Maybank miliknya, 1521-2535-5445.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!