Diskriminasi bekas pesakit Covid-19 masih berlaku
PANDEMIK Covid-19 mula menular ke dalam negara pada Februari tahun lalu. Sehingga kini, sudah setahun lapan bulan 32 juta rakyat Malaysia berdepan virus pembunuh berkenaan.
Biarpun tempohnya agak lama, mentaliti sebahagian rakyat negara ini masih di takuk lama, baik yang duduk di kampung atau bandar, saudara-mara mahupun jiran tetangga. Mereka tetap merasakan bekas pesakit Covid-19 akan menjangkiti dan membawa musibah kepada diri mereka sekeluarga.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada awal tahun lalu menegaskan pesakit yang telah sembuh tidak boleh menjangkiti orang lain.
Beliau menjelaskan, hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus Covid-19 gagal dibiakkan.
Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia membuat kesimpulan bahawa keputusan positif Covid-19 bagi pesakit yang sudah sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (DNA) yang sudah mati.
Penemuan serupa turut dilaporkan di beberapa negara misalnya Korea Selatan, China, Singapura dan Jerman.Disebabkan itu, setiap pesakit yang dijangkiti perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari sebelum boleh bergerak bebas.
Biarpun sudah berulang kali diingatkan tetapi stigma sebahagian masyarakat tetap mendiskriminasi bekas pesakit Covid-19 sehingga menyebabkan mereka dipandang hina. Perkara ini pernah berlaku di mana sebuah keluarga di Kelantan yang dijangkiti pada Julai lalu, dipandang serong oleh masyarakat.
Malah mereka turut merayu dan berharap supaya masyarakat tidak bersikap negatif terhadap mereka yang berstatus bekas pesakit pandemik itu.
Saya yang baru pulih daripada dijangkiti juga berdepan dengan stigma diskriminasi itu di mana ada yang takut untuk menghampiri kerana risau dijangkiti.
Dijangkiti
Malah hari ini juga penulis mendapat aduan di mana beberapa orang di kampung termasuk saudara terdekat risau akan kepulangan bapa saudara bersama empat anaknya (bekas pesakit Covid-19). Walhal mereka sudah lebih sebulan dijangkiti Covid-19.
Kepulangan mereka bertemu ibu bapa hanyalah untuk mengubat hati kehilangan insan tersayang pada 26 Julai lalu selepas 33 hari bertarung nyawa sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Selangor.
Seharusnya kita perlu risau terhadap individu yang belum dijangkiti kerana mungkin individu itu menjadi pembawa senyap atau silent carrier sebelum menyedari diri mereka dijangkiti.
Mengulas stigma itu, Pakar Khidmat Kaunseling dan Psikologi Bebas, Dr Wong Kok Fye dilaporkan berkata, budaya diskriminasi terhadap pesakit boleh memburukkan lagi keadaan, termasuk menjejaskan tahap kesihatan mental mereka.
Ia termasuklah rasa takut terhadap dijangkiti tetapi mereka perlu sedar bahawa bekas pesakit itu tidak akan menyebarkan virus berkenaan.
Bekas pesakit Covid-19 juga akan berdepan dengan kesan psikologi yang tinggi dan seharusnya masyarakat sekeliling memainkan peranan membantu mereka dan bukannya melarikan diri.
Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Firdaus Abdul Gani yang mengakui situasi itu berkata, satu mekanisme yang baik diperlukan untuk menangani tekanan bagi mengelakkan kesan psikologi jangka panjang terhadap bekas pesakit Covid-19.
Ini kerana rasa takut yang melampau itu juga boleh mendatangkan kesan emosi yang serius bagi sesetengah individu.
KKM juga pada penghujung tahun lalu telah melaksanakan Program Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial bagi mengatasi stigma pesakit atau bekas pesakit Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menjelaskan, langkah itu dijalankan sepanjang tempoh wabak Covid-19 bagi memastikan stigma itu tidak menjadi fenomena yang boleh menggugat kesejahteraan emosi mereka.
Namun sejauh manakah program itu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia sedangkan pada hari ini diskriminasi itu tetap berlaku.
Anda boleh memanjatkan rasa syukur jika tidak dijangkiti tetapi jika dijangkiti, ada mungkin tahu apa yang dirasakan oleh bekas pesakit yang didiskriminasi.
* Nurul Riduan Nor Ashaha ialah wartawan Premium Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!