Trump bertemu Jong-un

Trump (kiri) bersalaman dengan Jong-un ketika pertemuan di Hotel Sofitel Legend Metropole di Hanoi.
Trump (kiri) bersalaman dengan Jong-un ketika pertemuan di Hotel Sofitel Legend Metropole di Hanoi.
A
A
A

HANOI - VIETNAM. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengadakan pertemuan empat mata pada Rabu di Hotel Sofitel Legend Metropole di Hanoi.

Mereka turut berjabat tangan dan mengambil gambar bersama sebelum mengadakan sidang media.

Jong-un berkata, beliau yakin sidang kemuncak kedua selepas pertemuan bersejarah mereka di Singapura pada tahun lalu akan menghasilkan keputusan positif.

"Saya yakin keputusan yang baik akan dicapai kali ini dan akan disambut baik oleh semua orang. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan perkara itu berlaku," ujarnya.

Sementara itu, Trump memberitahu ia adalah satu penghormatan untuk bersama Jong-un.

"Saya rasa negara anda mempunyai potensi ekonomi yang luar biasa. Negara anda juga akan mempunyai masa depan luar biasa. Anda adalah pemimpin yang hebat. Kami akan membantu untuk merealisasikannya," menurut jutawan hartanah itu lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengisytiharkan Perang Korea berakhir, Trump berkata, "kita akan lihat".

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya berbual selama 20 minit disusuli majlis makan malam bersama pembantu masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Trump bakal diiringi Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan pemangku Ketua Turus, Mick Mulvaney manakala delegasi Jong-un terdiri daripada wakil kanan beliau, Kim Yong Chol dan Menteri Luar, Ri Yong Ho. - Straits Times

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!