Warga Nigeria dihukum gantung bunuh Siti Kharina

Gilbert dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu selepas didapati bersalah membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, pada Mei 2019. - Foto Bernama
Gilbert dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu selepas didapati bersalah membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, pada Mei 2019. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Warga Nigeria, Alowonle Oluwajuwon Gilbert dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu selepas didapati bersalah membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin dalam kejadian dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman terhadap pemuda berusia 38 tahun itu selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Ab Karim berkata, kenyataan tertuduh (ketika perbicaraan) bahawa dia tidak bersama Siti Kharina selepas jam 8 malam pada 8 Mei 2019 adalah bersifat penafian semata-mata dan terkemudian.

Ia kerana, katanya, ia bertentangan dengan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Tertuduh juga tidak dapat menjelaskan kesan asid deoksiribonukleik (DNA) darah Siti Kharina di baju tertuduh pada pagi, 9 Mei 2019.

"Pihak pembelaan juga tidak pernah mempertikaikan baju yang dipakai oleh tertuduh yang mempunyai kesan darah DNA milik mangsa," katanya.

Beliau berkata, kegagalan tertuduh memberi keyakinan kepada mahkamah menunjukkan bahawa tertuduh ada bersama Siti Kharina pada hari kejadian.

Tanpa keraguan munasabah itu juga, katanya, ia menunjukkan bahawa ada kemungkinan tertuduh yang membunuh ibu kepada tiga anak itu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Siti Kharina mesra, pemurah'

Warga Nigeria mengaku tidak bersalah bunuh Siti Kharina

Malah, beliau berkata, tertuduh tidak pernah menjelaskan bahawa dia tidak berada di lokasi pada hari kejadian.

"Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap anda, hukuman mati dan mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman hingga keputusan rayuan," katanya.

Sebaik hukuman itu dibacakan, Gilbert yang hadir dengan memakai baju dan seluar penjara warna putih, tunduk dan menangis di dalam kandang tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Shafinah Taib.

Pada 16 Julai 2020, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh Siti Kharin.

Alowonle Oluwajuwon Gilbert membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Gilbert ketika kejadian berusia 36 tahun, dituduh membunuh Siti Kharina di satu unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya antara jam 12.41 pagi, 9 Mei 2019 dan 2.30 petang, 15 Mei tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Mei 2019, media melaporkan penemuan mayat Siti Kharina selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar daripada unit kondominium berkenaan.

Mayat ketua jururawat itu ditemui terbaring dalam keadaan tidak berpakaian lengkap selain terdapat kesan kelar pada dada, leher serta kepala mangsa.

Polis percaya Siti Kharina dibunuh dalam tempoh empat hingga lima hari berdasarkan keadaan fizikalnya.

Kronologi kes bunuh Siti Kharina

8 Mei 2019

Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin dilaporkan hilang.

12 Mei 2019

Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada Rabu. Dia dilihat memandu kereta jenis Honda City berwarna putih.

13 Mei 2019

Polis menjalankan inkuiri berhubung kehilangan Siti Kharina dan mengklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

14 Mei 2019

Keluarga Siti Kharina meminta orang ramai berhenti menyebar maklumat palsu kononnya ketua jururawat itu sudah ditemui.

15 Mei 2019

Mayat dipercayai Siti Kharina ditemui dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya.

16 Mei 2019

Media melaporkan Siti Kharina ditemui dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala selepas pemilik rumah sewa berkenaan melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Mayat ketua jururawat itu ditemukan terbaring dalam keadaan tidak berpakaian lengkap dan polis percaya dia dibunuh dalam tempoh empat hingga lima hari berdasarkan keadaan fizikalnya.

Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun.

Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah.

17 Mei 2019

Seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.

Lelaki berusia 36 tahun itu (ketika kejadian) dipercayai suspek utama pembunuhan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

16 Julai 2020

Warga Nigeria, Alowonle Oluwajuwon Gilbert mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh Siti Kharina pada Mei 2019.

Gilbert membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Gilbert dituduh membunuh Siti Kharina di satu unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya antara jam 12.41 pagi 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang, 15 Mei tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

4 Ogos 2021

Gilbert yang hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan memakai baju dan seluar penjara berwarna putih dihukum gantung sampai mati selepas mendapati bersalah membunuh Siti Kharina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!