Pengurus Felda ditahan disyaki salah guna kedudukan
KUANTAN - Seorang pengurus Felda ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perolehan Rancangan (JKPR) berkaitan projek pertanian bernilai RM64,739.
Lelaki berusia 38 tahun itu disyaki melantik syarikat yang ada kepentingan dengan dirinya bagi projek tersebut.
Dia ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang kira-kira jam 7 petang pada Selasa selepas hadir memberi keterangan.
Pengurus berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan pada Rabu untuk permohonan reman.
Permohonan reman dibaca di hadapan Penolong Pendaftar Puan Humairah KM Haider.
Perintah reman terhadap lelaki itu bermula pada Rabu hingga Ahad depan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Menurutnya, individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!