Greece diancam kebakaran hutan akibat gelombang haba
ATHENS - Greece mengalami cuaca panas melampau akibat gelombang haba terburuk melanda negara ini dalam tempoh 40 tahun, kata Timbalan Menteri Perlindungan Awam dan Pengurusan Krisis, Nikos Hardalias pada Selasa.
Sebanyak 81 kebakaran hutan dilaporkan dalam tempoh 24 jam dan 40 kebakaran aktif di seluruh negara, lapor Xinhua memetik media tempatan ERT.
"Kebakaran paling berbahaya adalah di utara Athens di kaki Gunung Parnitha yang mengancam kawasan penempatan.
"Penduduk di kawasan berhampiran perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Kami sedang berusaha menyelamatkan nyawa manusia, meminimakan kerosakan, memadamkan api dan melindungi alam sekitar, ” tambah Hardalias.
Cuaca panas melampau hingga 45 darjah Celsius, berserta angin kencang mencecah skala enam dan tahap kelembapan yang rendah menjadikan tugas mengawal kebakaran semakin sukar.
Anggota tentera, polis, sukarelawan, dan ahli jawatankuasa bandar turut membantu anggota bomba dalam operasi kali ini.
Sementara itu, 315 orang telah dipindahkan ke kawasan selamat, kata Hardalias.
Menurut Agensi Berita AMNA, enam orang dan seorang anggota bomba dikejarkan ke hospital akibat masalah pernafasan.
Hotel-hotel di ibu negara Athens turut menyediakan bilik untuk menempatkan ribuan mangsa yang terjejas.
Perkhidmatan kereta api pinggir bandar antara Athens dan Thessaloniki turut dihentikan akibat kejadian itu, menurut syarikat kereta api tempatan TrainOSE dalam satu kenyataan sebelum ini.
Greece sering diancam kebakaran setiap kali musim panas melanda. Pada 2018, seramai 102 terkorban di pusat peranginan Mati berdekatan Athens akibat kebakaran hutan paling teruk pernah dicatat dalam sejarah negara ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!