Warga Rohingya tidak mengaku rasuah pegawai maritim

Noor Kalam (tengah) dibawa pegawai SPRM ketika hadir di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.
Noor Kalam (tengah) dibawa pegawai SPRM ketika hadir di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang buruh warga Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan memberi rasuah sebanyak RM7,000 kepada seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam kejadian tahun lalu.

Noor Kalam Soyut Alam, 26, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan seorang jurubahasa dalam bahasa Rohingya.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi lelaki Rohingya secara rasuah memberi wang suapan sebanyak RM7,000 kepada pegawai kanan Maritim Malaysia di Restoran Faathirah Tomyam & Seafood, Padang Mat Sirat, Langkawi pada 21 Julai 2020, kira-kira jam 1 pagi.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 25 PATI Rohingya yang diseludup masuk menerusi jalan laut.

Tindakan itu menyalahi Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdangan Orang, Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007serta kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen (1) akta sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin.

Harmi Thamri kemudian mengarahkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan 2 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!