Jardine puas hati Brazil ke final
PENGENDALI Brazil, Andre Jardine nyata berpuas hati dengan kemenangan skuad kendaliannya ke atas Mexico pada aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan Olimpik Tokyo pada Selasa.
Menurut Jardine, biarpun kemenangan berkenaan perlu ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan, namun ia dilihat sebagai satu kemenangan yang cukup melegakan.
“Secara keseluruhannya, kami berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan. Kami mengambil risiko, tetapi dalam masa sama kami turut beraksi dengan baik.
“Kami melakukan banyak percubaan ke arah gawang lawan di sepanjang perlawanan, namun perlawanan tetap juga perlu ditentukan menerusi sepakan penalti.
“Pada penentuan sepakan penalti, kami berjaya mengekalkan fokus dan menyempurnakan kesemua sepakan penalti untuk mara ke final dan mempertahankan pingat emas yang kami menangi di Rio 2016,” katanya.
Aksi separuh akhir Stadium Saitama pada Selasa itu turut mengulangi aksi final Olimpik London 2012 yang menyaksikan Mexico menewaskan Brazil, 2-1.
Pada aksi final 7 Ogos nanti Brazil bakal berdepan Sepanyol yang menewaskan tuan rumah, Jepun 1-0, dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Selasa.
Sementara itu kapten Brazil, Dani Alves berkata, skuad Selacao itu sememangnya berhak untuk beraksi di final berdasarkan kepada prestasi cemerlang yang dipamerkan kesebelasan pemain pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Bagaimanapun katanya, kesemua pemain masih perlu mengekalkan fokus agar tidak berputih mata pada aksi final berkenaan.
“Hanya satu perlawanan yang tinggal. Kami perlu terus kekal fokus dan konsentrasi untuk mengharungi perlawanan ini.
“Ini kerana, ia sememangnya sukar untuk kita memenangi mana-mana perlawanan apabila berdepan lawan berbeza,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!