FAMA pasar tiga tan durian setiap hari
KUANTAN- Sebanyak tiga tan durian jenis kampung terjual setiap hari menerusi program jualan promosi buah-buahan bermusim di Pasar Segar Terkawal (PST) di pekarangan pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang.
Selain durian, program jualan yang bermula pada Isnin turut menjual masing-masing satu tan manggis dan rambutan.
Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, bekalan itu diperoleh daripada beberapa pekebun terpilih di beberapa daerah dengan penawaran harga yang berpatutan.
Menurutnya, setakat ini durian dijual pada harga RM4 sekilogram, rambutan (RM3kg) dan manggis (RM5kg), namun tidak mustahil harga jualan akan turun apabila pengeluaran semakin bertambah.
"Kita bertanggungjawab membantu memasarkan buah durian, rambutan dan manggis bagi mengelak lambakan serta kerugian pada pekebun kerana buah berkenaan tidak boleh disimpan lama.
"Beberapa daerah terutama di Raub, Jerantut, Bentong dan Lipis dikatakan semakin banyak mengeluarkan hasil seperti durian, rambutan dan manggis. Pengeluaran secara serentak itu boleh mengundang pada lambakan sekiranya pihak FAMA tidak membantu," katanya pada Rabu.
Aktiviti jualan diadakan setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari dan sambutan menggalakkan selepas dua hari program jualan diadakan.
Dalam pada itu, Noh berkata, selain itu, pihaknya turut dijual nangka J33 termasuk pisang tanduk, berangan dan nangka yang dijual pada/ harga berpatutan.
"Kita akan berusaha menambah lebih banyak lagi komoditi lain seperti buah pulasan dari Johor dan pisang abu dari Sabah.
"Musim buah kali ini diharap dapat memberi pendapatan tambahan pada pekebun di negeri ini. Pada masa sama, mereka juga boleh berhubung dengan FAMA daerah sekiranya hasil pertanian mereka tidak dapat dipasarkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!