Tragedi lombong emas: TPM ucap takziah kepada Indonesia
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengutuskan ucapan takziah kepada rakyat Indonesia susulan tragedi tanah runtuh di tapak perlombongan emas tanpa izin di wilayah Sulawesi Utara di Indonesia malam tadi.
“Takziah buat sahabat kita di Indonesia atas berita sedih tragedi runtuhan tapak perlombongan di Bolaang Mondow, Sulawesi Utara. Dikhabarkan sekurang-kurangnya 60 mangsa tertimbus,” katanya menerusi laman Twitternya malam ini.
Beliau turut kongsikan catatan itu dengan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Tapak perlombongan emas haram di kawasan hutan itu yang mengambil masa kira-kira dua jam berjalan kaki dari Desa Bakan Kecamatan Lolayan, tertimbus susulan kejadian tanah runtuh pada 9 malam waktu tempatan.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), setakat 5 pagi tadi, 13 orang yang cedera berjaya diselamatkan, seorang lelaki disahkan meninggal dunia manakala lebih 60 lagi dikhuatiri tertimbus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!