Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus mara ke pusingan 1/16
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus masing-masing mengesahkan kemaraan ke perlumbaan 1/16 bagi acara pecut (sprint) Sukan Olimpik Tokyo apabila masing-masing memenangi pusingan Repechages 1/32 pada Rabu.
Azizulhasni yang tewas 0.032 saat kepada pelumba Great Britain yang juga pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, Jason Kenny, pada perlumbaan kelapan berjaya menebus kehampaan berkenaan apabila memenangi perlumbaan Repechages dengan menewaskan pelumba Colombia, Kevin Santiago Quintero Chavarro dengan 0.204 saat dan pelumba New Zealand, Ethan Michell (0.549 saat).
Pada perlumbaan keempat, pusingan 1/16 nanti The Pocket Rocketman itu bakal berdepan pelumba dari Trinidad and Tobago, Paul Nicholas bagi mengesahkan slot ke perlumbaan 1/8.
Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula menewaskan pelumba Kanada, Hugo Barrette dengan 0.619 saat dan Mateusz Rudyk (Poland) dengan 0.668 saat pada perlumbaan Repechages bagi mengesahkan kemaraan ke perlumbaan 1/16.
Sekali gus, kejayaan Muhammad Shah Firdaus itu telah menebus kehampaannya apabila tewas 0.063 saat kepada pelumba Belanda, Harrie Lavreysen pada perlumbaan kedua.
Pada perlumbaan ketiga bagi perlumbaan 1/16 nanti, Muhamamd Shah Firdaus bakal berdepan pelumba Great Britain, Jack Carlin bagi mengesahkan pula slot ke perlumbaan 1/8.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!