Sindiket judi online di lima unit apartmen diserbu
SUBANG JAYA - Seramai 19 individu termasuk warga asing dan tempatan ditahan dalam serbuan Ops Dadu di lima unit sebuah apartmen di USJ 21 pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, tangkapan yang dilaksanakan itu berjaya menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu.
"Serbuan dijalankan antara jam 6.50 petang hingga 9.30 malam oleh Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya.
"Tangkapan melibatkan 19 individu termasuk lelaki dan wanita melibatkan warga asing dan tempatan manakala 11 set komputer, 22 unit telefon bimbit dan lain-lain peralatan elektronik turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Amihizam berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 21 tahun hingga 47 tahun.
"Empat lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki tempatan ditahan pada serbuan pertama di tingkat 31. Turut dirampas tiga unit komputer, enam unit telefon bimbit dan modem.
"Serbuan kedua di tingkat 25 pula, tiga lelaki warga tempatan yang berumur antara 25 tahun hingga 35 tahun, dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berumur 21 tahun hingga 29 tahun ditahan. Enam unit komputer, 12 unit telefon bimbit dan modem turut dirampas," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil maklumat dari serbuan kedua, dua lelaki dan dua wanita warga Myanmar berjaya ditahan di tingkat 20 apartmen terbabit.
"Suspek yang ditahan berumur antara 21 tahun hingga 47 tahun sebelum seorang lelaki warga tempatan berumur 25 ditahan dalam serbuan susulan di tingkat 23.
"Serbuan terakhir dibuat di tingkat 12 dan berjaya menangkap dua wanita dan seorang lelaki warga tempatan berumur antara 24 tahun hingga 25 tahun serta merampas dua unit komputer, empat unit telefon bimbit dan modem," katanya.
Amihizam berkata, sindiket ini menawarkan khidmat judi online kepada pelanggan di pasaran Malaysia, Indonesia dan Burma dengan menggunakan aplikasi Facebook dan Wechat.
"Mereka menggunakan platform perjudian melalui laman web serta dipercayai telah beroperasi sejak lebih dua bulan lalu.
"Kesemua suspek ditempatkan di apartmen terbabit dan bekerja sebagai operator dengan menerima gaji dalam lingkungan RM2,000 hingga RM4,000," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) / 4(1)(c) / 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki terlibat dalam penganjuran judi online dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana dokumen perjalanan telah tamat tempoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!