'Kita perlu duduk dan berbincang'
ISLAMABAD - PAKISTAN. Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada Rabu menggesa rundingan bersama India dan beliau berharap ia akan membuahkan hasil yang positif.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika beliau berucap di stesen TV selepas Islamabad menembak jatuh dua jet milik India di ruang udaranya di wilayah Kashmir.
Menurut Pakistan, salah satu pesawat itu jatuh di bahagian Kashmir dan juruterbang jet itu turut ditahan.
"Serangan udara itu adalah untuk menunjukkan keupayaan Pakistan dan tidak kematian dilaporkan. Hanya perbincangan dapat meredakan ketegangan ketika ini. Sejarah telah mengajar kita bahawa peperangan penuh dengan kesilapan dan salah perhitungan.
"Kita perlu duduk dan berbincang. Saya sekali lagi menjemput India ke meja rundingan. Jika konflik ini bermula, ke mana ia akan berakhir?" katanya.
Insiden itu dikhuatiri akan mengeruhkan lagi konflik antara kedua-dua bersenjata nuklear itu.
Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu semakin tegang selepas insiden pengeboman berani mati di Kashmir yang meragut sekurang-kurangnya 40 anggota tentera pada 14 Februari lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!