Hasni ikrar junjung amalan demokrasi
JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berikrar akan menjunjung penuh amalan demokrasi selain mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri Johor di sebalik ketegangan politik negara pada masa kini.
Pengerusi UMNO Johor itu memuat naik ikrar berkenaan menerusi akaun Twitter rasminya pada Rabu.
"Kami (UMNO) berjanji untuk terus menjunjung penuh amalan demokrasi selain mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri Johor," katanya di akaun media sosial berkenaan.
Difahamkan Hasni bersama 10 Exco Johor menyertai mesyuarat mingguan di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, di sini pada Rabu.
Pada Selasa, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan sebulat suara menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan kerajaan PN di Johor yang memiliki majoriti tipis.
Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkini iaitu UMNO dan DAP masing-masing 14, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (12), MIC (2), Pas (1) manakala Parti Amanah Negara (9) serta Parti Keadilan Rakyat (4).
Kerajaan Johor di bawah pimpinan Hasni yang mendapat sokongan dari UMNO, Bersatu, MIC dan Pas memiliki majoriti dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP, Amanah dan PKR.
ARTIKEL BERKAITAN: Keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbatal: UMNO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!