Ordinan Darurat: Noh selar kenyataan Zuraida
SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyelar kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat.
Beliau berkata, kenyataan Zuraida itu melambangkan pemikiran seorang menteri yang biadab dan tidak memahami konsep Raja Berpelembagaan serta menyifatkan tindakan terbabit menjadi antara penyebab pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadi kelam kabut.
"Kalau urusan dengan pihak istana pun tak faham bagaimana nak uruskan masalah rakyat menghadapi pandemik Covid-19?
"Ini menyebabkan rakyat marah dan Yang di-Pertuan Agong pula melahirkan rasa dukacita kepada kerajaan. Betul lah tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya menerusi kemaskini di laman Facebook, pada Rabu.
Pada Selasa, Zuraida menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat pada 29 Julai lalu adalah tidak wajar.
Zuraida yang juga bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) berkata demikian dalam rancangan bual bicara bahasa Inggeris, Consider This di Astro Awani.
Menjawab soalan pengacara mengenai pembatalan Ordinan Darurat Zuraida berkata, sebagai anggota dalam kabinet beliau yakin ia dibuat mengikut prosedur.
"Kami mahu siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap Zuraida," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!