Sembilan kedai musnah dalam dua kebakaran

Kebakaran di Kampung Kuala Slim, Slim River memusnahkan empat deretan rumah kedai. Foto:Ihsan Bomba Perak.
Kebakaran di Kampung Kuala Slim, Slim River memusnahkan empat deretan rumah kedai. Foto:Ihsan Bomba Perak.
A
A
A

IPOH - Sembilan deretan kedai musnah dalam dua kebakaran berasingan yang berlaku di Medan Selera Kampung Sentang, Batu Gajah dan Kampung Kuala Slim, Slim River di sini pada Rabu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi dan 11.20 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat laporan kebakaran pada jam 7.36 pagi.

"Kebakaran melibatkan lima premis di medan selera bawah seliaan Majlis Daerah Batu Gajah telah musnah terbakar 50 peratus.

"Operasi pemadaman turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Pasir Puteh dengan aliran air sehingga api padam sepenuhnya," katanya yang memaklumkan operasi tamat pada jam 10.28 pagi.

Empat deretan rumah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Slim, Slim River. Foto: ihsan pembaca.
Empat deretan rumah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Slim, Slim River. Foto: ihsan pembaca.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejadian kedua pula melibatkan kebakaran empat deretan rumah kedai dua tingkat iaitu kedai runcit dan kedai kek serta dua lagi premis tidak berpenghuni.

"Kedai kek dan kedai runcit terbabit musnah 80 peratus manakala, dua kedai lain musnah 95 peratus.

"Anggota membuat pemadaman dengan menggunakan aliran air dari sumber pili bomba dan pam angkut. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 4.09 petang," katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman yang berlangsung lebih empat jam itu melibatkan 15 anggota bomba daripada BBP Bidor, Tanjung Malim dan Tapah.

"Operasi itu dibantu 20 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, Batu 12, Gugusan Besout dan Slim Village.

"Seramai 19 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu sepanjang operasi tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!