Covid-19: Penggunaan katil ICU di NS 104 peratus minggu lalu
SEREMBAN - Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan Covid-19 serta catatan kes harian wabak itu perlu menurun sebelum Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin berkata, program vaksinasi perlu dipergiatkan di negeri ini untuk mengurangkan bilangan pesakit Covid-19 di tahap empat dan lima.
"Minggu lepas penggunaan katil ICU adalah 104 peratus... kalau dilihat memang ada penurunan berbanding 154 peratus sebelum ini, namun situasi ini masih belum membolehkan negeri ini beralih ke fasa seterusnya. Jumlah jangkitan Covid-19 harian juga masih tinggi.
“Saya yakin apabila ramai sudah divaksinasi, maka bilangan mereka yang positif Covid-19 di tahap empat dan lima akan berkurangan," katanya pada sidang akhbar secara dalam talian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri pada Rabu.
Rakyat di negeri ini diminta bersabar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, negeri ini mencapai 74.36 peratus bersamaan dengan 605, 619 individu telah menerima dos pertama manakala 41.33 peratus (336,586) penerima melengkapkan dos kedua.
Pada Selasa, negeri ini merekodkan kes harian 816 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini 73,978 kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!