Ketepi perbezaan politik, kerjasama demi ekonomi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak mewakili parti yang memerintah serta pembangkang digesa mengetepikan perbezaan politik dan sebaliknya saling bekerjasama demi ekonomi negara termasuk memulihkan keyakinan pelabur, demikian menurut ahli ekonomi yang juga penganalisis.

Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, kedua-dua pihak terbabit perlu menghentikan perbalahan dan sebaliknya sama-sama membantu usaha memulihkan keadaan ekonomi negara.

“Ekonomi dan politik adalah dua bidang yang saling berkaitan. Oleh itu, apabila keadaan politik reda selepas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengumumkan bahawa beliau masih mempunyai sokongan yang mencukupi, (maka) keadaan ekonomi juga akan turut pulih,” katanya kepada Bernama.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata, satu usul undi percaya kepadanya sebagai Perdana Menteri akan turut dibentangkan di Dewan Rakyat yang bersidang pada September depan.

Dalam pada itu, Abu Sofian meminta kerajaan untuk lebih menumpukan usaha melonggarkan sekatan ke atas sektor-sektor ekonomi terutama pelancongan dengan membenarkan pergerakan individu yang telah lengkap dua dos vaksin serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Apabila sektor pelancongan, terutama pergerakan domestik ini dibuka semula, ia secara langsung turut melonjakkan sektor lain dalam rantaian berkaitan seperti pengangkutan sekali gus dapat menyuntik keyakinan pelabur sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berkata, pelabur menaruh harapan bahawa keadaan bertambah baik dan ekonomi negara dapat dibuka semula.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpendapat, ekonomi negara juga terjejas akibat sekatan ke atas pelbagai sektor akibat pandemik Covid-19 selain faktor isu ketidakstabilan politik yang berlanjutan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menumpukan aspek untuk menggerakkan semula sektor perniagaan terutama melibatkan perusahaan kecil dan sederhana.

“Kalangan pelabur institusi komited untuk melabur dalam pasaran tetapi menunggu masa sesuai dan apabila pasaran dilihat sebagai menarik. Selagi itu tidak berlaku mereka akan memilih untuk berada di luar pasaran.

“Secara keseluruhannya kita berharap untuk melihat wujudnya hala tuju serta keadaan positif untuk ekonomi negara. Namun kita perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga September untuk melihat keadaan yang lebih jelas pada masa itu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!