'Jangan ungkit kisah lama Norhizam'
JASIN - Ahli UMNO dinasihatkan supaya tidak sombong, sebaliknya terbuka menerima individu yang mahu bersama parti itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Ghaafar Atan berkata, walaupun Norhizam menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menerusi tiket DAP sebelum bertindak sebagai ADUN Bebas, namun beliau yakin wakil rakyat berkenaan positif untuk bersama UMNO.
"Kalau saya jadi Norhizam pun, saya akan berkecil hati apabila ada yang meminta supaya tidak mengambil beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Sebab itu, saya kadang-kadang nak marah dengan orang-orang UMNO. Sepatutnya kita bersama dan bersatu ke arah kebaikan bersama dan jangan diungkit kisah lama beliau (Norhizam) dalam DAP," katanya ketika ditemui di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Asahan, Nyalas di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ghaafar yang juga ADUN Asahan berkata, Norhizam pernah memaklumkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk bersama UMNO tidak lama lagi.
Beliau berkata, UMNO perlu sedar bahawa pemerintahan sekarang bukanlah dalam keadaan parti itu menang, tetapi dengan izin ALLAH, dapat mentadbir di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Saya percaya Pakatan Harapan (PH) susah untuk merampas Melaka semula," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Norhizam selesa sebagai ADUN bebas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!