Mayat bayi perempuan bertali pusat dikerumuni ikan

Kamarul Rizal
Kamarul Rizal
A
A
A

BALIK PULAU- Mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat ditemukan di dalam sebuah longkang berhampiran kebun durian di Mukim 6, Pondok Upeh di sini pada petang Rabu.

Lebih menyedihkan, ketika ditemui, mayat bayi yang masih bertali pusat itu dikerumuni ikan yang terdapat di dalam longkang tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mayat bayi malang itu ditemui selepas polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Balik Pulau berhubung seorang wanita yang mengalami pendarahan pada rahim dipercayai baru melahirkan bayi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut pihak hospital menemui uri tanpa bayi di dalam rahim wanita tersebut lalu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

"Siasatan mendapati, wanita tersebut merupakan warga Indonesia berusia 35 tahun. Dia didapati enggan memberi kerjasama ketika pihak hospital bertanya tentang lokasi bayi yang dilahirnya itu.

"Ketika disoal polis, suspek mengaku telah meninggalkan bayinya di dalam longkang berdekatan tempat tinggalnya yang juga tempat dia bekerja," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Katanya, suspek berniat untuk menanam bayi tersebut apabila menyedarinya tidak bernyawa selepas dilahirkan di bilik tidurnya pada jam 5 petang, Selasa.

"Bagaimanapun, ketika suspek tiba berdekatan sebuah longkang, dia berasa hendak pitam lalu bayi tersebut terlepas dari pegangannya dan terjatuh ke dalam longkang.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang bekerja sebagai penjaga warga emas itu sempat kembali ke rumah majikannya sebelum pengsan di bahagian dapur. Suspek ditemui majikannya dalam keadaan berdarah lalu membawanya ke hospital pada jam 6 petang," katanya.

Kamarul Rizal berkata, siasatan mendapati, suspek hamil hasil hubungan sulitnya bersama seorang pekerja kebun yang tinggal berdekatan tempat kerja suspek.

"Pekerja kebun tersebut belum dikenalpasti namun dia bukan bekerja di bawah majikan yang sama dengan suspek. Kita masih belum dapat menemubual suspek dengan lebih lanjut kerana dia masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Suspek pernah berkahwin namun sudah bercerai. Dia juga tiada rekod jenayah lampau. Proses bedah siasat ke atas mayat bayi tersebut akan dijalankan hari ini (Khamis) selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperolehi," katanya.

Tambahnya, suspek bekerja sebagai penjaga bapa kepada majikannya sejak Februari tahun lalu dengan bayaran RM1,300 sebulan.

Ujarnya, suspek akan ditahan selepas selesai menjalani rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!