Menifestasi mencintai Nabi: Muslim, non-Muslim wajib faham
SEORANG muslim yang sebenar cintakan Nabi Muhammad SAW, cintanya kepada Nabi SAW itu tetap subur walaupun kadang-kala dirinya sendiri tidak begitu baik.
Nabi SAW sendiri mengakui hakikat ini. Dalam hadis: “Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Juga pernah Nabi SAW menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak.
Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka Baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”.
Lantas Nabi SAW pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai ALLAH dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).
Apatahlagi para pejuang yang ingin menyampaikan mesej Baginda kepada dunia ini. Cinta mereka membara. Lihatlah sahabat Nabi SAW, Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi SAW pada zaman itu lalu dibawa untuk dibunuh.
Ketua Quraish Abu Sufyan - ketika itu belum menganut Islam - bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu”.
Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad terkena duri di tempat dia berada sekarang sedangkan aku pula berada di samping keluargaku”.
Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).
Lihatlah sahabat teragung Nabi SAW, Abu Bakar al-Siddiq. Dalam riwayat Abu Ya’la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik r.a yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam.
Pengislaman beliau agak lewat. Abu Bakar r.a memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam. Menariknya, apabila bapa Abu Bakar iaitu Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW untuk menganut Islam, Abu Bakar menangis.
Nabi SAW bertanya: “Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?”. Jawabnya: “Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam”.
Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu tenggelam apabila mengenang Nabi SAW tidak memperoleh kegembiraan yang sama disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam. Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat bapanya ketika itu.
Tenggelamlah segala kepentingan dan kenikmatan diri apabila mengenangi keadaan diri Nabi SAW.
Demikian hati budi seorang muslim. Itulah manifestasi dari apa yang Nabi s.a.w sabdakan: “Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya” (Riwayat al-Bukhari).
Mereka yang tidak merasai kemanisan nikmat iman mungkin tidak faham hakikat ini. Mereka kehairanan kenapa muslim sedih dan emosi apabila Nabi mereka disakiti.
Bukan muslim yang hendak jadi ahli politik dalam masyarakat muslim, kena memahami latar pegangan dan nilai dalaman Umat Islam ini. Jika seorang muslim tidak marah dan berdukacita apabila Nabinya disakiti, maka diragui keislamannya.
Jika dia dengan penuh sedar membela perbuatan menyakiti Nabi s.a.w, maka tidak diragui kekufurannya.
Jika manusia lain sanggup untuk membantah pencemaran alam dan perkara-perkara keduniaan yang lain yang sebahagiannya itu batil, maka mengapa tidak Muslim keluar membantah pencemaran imej Nabi SAW yang membawa rahmat untuk sekelian alam.
Jika orang sanggup membuat demonstrasi membantah perkara yang lekeh, mengapa tidak Muslim keluar membantah penghinaan perkara yang asas dalam kehidupan ini.
Nabi SAW ketika mengulas pertanyaan sahabat yang mendapat upah berjampi menggunakan ayat al-Quran, baginda menyebut: “Ambillah, demi sesungguhnya orang makan dari jampi yang batil, engkau makan dari jampi yang sebenar” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih).
Jika dikiaskan, kalau orang berdemonstrasi dan membantah dalam perkara yang salah, kita berdemonstrasi dan membantah dalam perkara yang betul!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!