Jenazah Covid-19: Selangor sambut baik ketetapan JAIS

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyambut baik ketetapan baharu yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, langkah itu adalah tepat selaras dengan hasrat kerajaan negeri bagi memastikan JAIS dapat melaksanakan pengurusan jenazah Covid-19 berkenaan dengan lancar.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati penetapan berkenaan yang juga selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 14 Julai lalu.

"JAIS diminta untuk mengetuai dan menyelaras tindakan bersama agensi dan pihak berkaitan untuk memuktamadkan jalan penyelesaian terbaik berhubung pengurusan jenazah Covid-19 ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selasa lalu, JAIS memutuskan untuk meneliti, menilai dan menstruktur semula peranan serta penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu dibuat setelah beberapa isu berbangkit melibatkan NGO berikutan kes jenazah yang mengambil masa lama untuk diuruskan di beberapa hospital di Selangor.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri percaya kerjasama semua pihak dalam perkara ini akan memberi kesan yang baik khususnya melibatkan pengurusan jenazah Covid-19 di negeri itu.

"Langkah-langkah telah diambil bagi memastikan urusan kematian akibat Covid-19 dapat berjalan dengan baik dan sempurna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!