Malaysia Airlines, GE Digital jalin kerjasama
KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines Bhd (MAB) menjalinkan kerjasama dengan GE Digital untuk mentransformasikan dan memodenkan program kecekapan bahan apinya.
Dalam kenyataan pada Khamis, MAB menjelaskan pihaknya akan menggunakan perisian penerbangan FlightPulse dan Fuel Insight yang dibangunkan GE Digital sebagai sebahagian inisiatif berterusan untuk memenuhi matlamat kemampanan.
Fuel Insight merupakan penyelesaian pemantauan kos dan pelepasan karbon yang berfungsi dengan meneliti data daripada pesawat untuk memperoleh kepintaran bernilai bagi membantu meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan sisa.
FlightPulse pula meletakkan data secara langsung di bawah kendalian juruterbang dan ini sekali gus membolehkan mereka menjangkakan penjimatan dari semasa ke semasa.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama itu yang akan menyumbang kepada usaha MAB dalam memacu matlamat kemampanan.
“Digitalisasi adalah komponen teras dalam Rancangan Perniagaan Jangka Panjang dan kami telah menyaksikan bagaimana usaha ini memberikan nilai secara serta-merta, khususnya dari segi kecekapan bahan api.
“Menerusi penyelesaian ini, kami mahu melaksanakan peranan lebih besar dalam membangunkan legasi untuk generasi akan datang dan menggiatkan lagi usaha kelestarian syarikat penerbangan kami,” katanya.
Pengurus Besar Perniagaan Perisian Penerbangan, GE Digital, Andrew Coleman berkata, pihaknya menyediakan alat untuk MAB membangunkan analisis data raya mereka sendiri dan memanfaatkan alat moden untuk analisis data, termasuk kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.
“Penyelesaian ini akan membantu Malaysia Airlines memanfaatkan perisian untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.
Malaysia Airlines telah melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk langkah kecekapan, pelaburan dalam penyelesaian kemampanan serta pengurangan sisa di seluruh operasinya untuk mencapai matlamat kemampanan.
Program kecekapan bahan api telah dijalankan oleh MAB selama lebih satu dekad dan menyumbang 15 peratus dari segi pembakaran bahan api secara lebih baik sejak lapan tahun lepas. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!