Pulau Pinang gesa CIVac dipercepatkan

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang menggesa supaya proses vaksinasi di bawah Program Construction Industry Vaccination (CIVac) disegerakan dan tidak ditunda seperti yang diumumkan pada petang Rabu.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri kesal dengan pengumuman tersebut kerana program itu tidak sepatutnya ditunda.

Menurutnya, keselamatan rakyat Pulau Pinang selain keselamatan pekerja sektor pembinaan khususnya perlu diberi keutamaan dan tidak wajar diabaikan.

"Kerajaan negeri amat kesal dengan penundaan program CIVac di Pulau Pinang dan berpendirian bahawa program perlu disegerakan dalam masa terdekat.

"Program CIVac wilayah utara yang dijadual akan berlangsung mulai hari ini bertempat di Sunway Carnival Convention Centre, Seberang Jaya telah ditunda selama seminggu.

"Umum mengetahui industri pembinaan merupakan salah satu sektor yang kritikal, bukan sahaja dari segi penularan virus malah dari segi potensi pemulihan ekonomi. Sektor ini merupakan penyumbang ekonomi utama yang bakal menjana peluang pekerjaan dan kesan limpahan yang positif," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, jumlah vaksin yang diberikan kepada 30,000 pekerja tidak mencukupi dan harus ditambah pada fasa akan datang.

Data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mendedahkan, terdapat seramai 47,950 pekerja sektor pembinaan di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, jumlah vaksin yang diberi kepada 30,000 pekerja sahaja jelas tidak mencukupi selain vaksinasi pekerja-pekerja wajar dimulakan pada kadar segera," katanya.

Zairil berkata, jumlah kes Covid-19 di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan mendadak menyebabkan Jabatan Pesakit Luar Hospital Pulau Pinang terpaksa ditutup sejak semalam.

"Penutupan itu bagi membolehkan kerja pengubahsuaian untuk dijadikan wad pemerhatian dan rawatan awal pesakit Covid-19. Ini menunjukkan virus Covid-19 telah menular dalam kalangan komuniti dan sistem kesihatan negeri kini berada di tahap membimbangkan.

"Oleh itu, satu-satunya langkah bagi menangani pandemik Covid-19 dan memastikan warga Pulau Pinang kembali ke norma kehidupan pra-Covid-19 adalah melalui vaksinisasi," katanya.

Beliau turut menggesa agar kadar vaksinasi di Pulau Pinang dipercepatkan berikutan masih ramai rakyat negeri ini yang belum menerima suntikan vaksin.

"Walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mula dijalankan sejak Februari lalu, masih ramai warga Pulau Pinang yang belum menerima janji temu untuk dos pertama selain ada sebilangan warga emas yang tercicir.

"Berdasarkan data semasa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hanya 17.7 peratus warga Pulau Pinang yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat ini.

"Bagi mempergiatkan kadar vaksinisasi di negeri ini, kerajaan negeri memberi kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF). Sehingga kini, sebanyak 101 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berjaya diwujudkan termasuk PIKAS di negeri ini," katanya.

Selain itu, beberapa buah bas CAT tajaan kerajaan negeri turut diubah suai sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak yang digunakan di bawah program Outreach Vaksinisasi anjuran CITF.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!