Alisson Becker kekal bersama Liverpool
PENJAGA gol Liverpool, Alisson Becker membuktikan komitmennya bersama The Reds apabila menyambung khidmat di Anfield untuk tempoh enam tahun lagi.
Menurut Alisson, beliau tidak mengambil keputusan lama untuk kekal di Anfield dengan reputasi yang dibina oleh Jurgen Klopp di kelab tersebut sejak beberapa musim lalu.
“Saya tidak perlu membuang banyak masa untuk memikirkan mengenai komitmen saya bersama kelab ini dalam jangka panjang. Apatah lagi setelah ianya sudah bina sejak tiga tahun lalu iaitu kepercayaan saya terhadap kelab dan kelab terhadap saya.
“Sejujurnya, saya dan keluarga amat gembira untuk kekal di sini. Anak saya menyesuaikan diri di England, di negara berbeza, tapi mereka membesar dengan cara itu. Jadi kami sangat gembira.
“Ini juga antara faktor menyebabkan saya masih mampu memberikan aksi terbaik sekali gus komitmen untuk kelab ini, jadi tidak menjadi masalah untuk saya mengambil keputusan kekal di Anfield,” katanya.
Status terkini penjaga gawang Brazil berusia 28 tahun itu menyaksikan bekas pemain AS Roma yang menyertai The Reds dengan nilai £66 juta (RM386.99 juta) pada 2018 kekal di Anfield hingga 2027.
Untuk rekod, Alisson bersama skuad kendalian Klopp telah meraih trofi kejuaraan Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan Piala Dunia Kelab FIFA selain Anugerah Yashin UEFA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!